Rakyat boleh optimis dan yakin bahawa masa depan mereka berada pada kerajaan yang mampu membawa ke tahap lebih baik pada masa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata masa depan yang dirancang kerajaan bukan omong kosong atau angan-angan Mat Jenin, tapi berpijak di atas bumi yang nyata kerana sudah dibuktikan menerusi kejayaan pembinaan pelbagai projek infrarakyat.

“Kalau boleh, rakyat berasa optimis dan yakin bahawa masa depan mereka di bawah tangan mereka yang mampu membawa jauh ke hadapan sebagai sebuah kerajaan.

“Pendek kata, masa depan anda ‘is in a good hand’. Tak payah pandang kiri, tak payah pandang kanan. Tak payah termakan janji apatah lagi hasutan kebencian ditabur pihak berkenaan.

“Pegang, kepal apa yang ada hari ini, insya-Allah Malaysia akan terus harum di persada antarabangsa,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor melihat model Projek pembangunan ikonik Tun Razak Exchange (TRX) ketika Ekspo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka. Turut bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan. – Foto Sairien Nafis

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Expo Negaraku 2017 anjuran Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri di Dataran Merdeka, malam tadi.

Najib turut ditemani isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor. Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Perdana Menteri dan isteri serta tetamu kenamaan turut meluangkan masa hampir sejam melawat pameran di ekspo berkenaan.

Lebih 3,000 pengunjung menghadiri majlis perasmian Expo Negaraku 2017 . Ekspo itu dibuka kepada umum selama sebulan, bermula hari ini.

Najib berkata, berdasarkan kejayaan dicapai oleh kerajaan hari ini, Malaysia dihormati di peringkat antarabangsa dan pemimpin dunia.

Beliau berkata, ketika beliau menghadiri mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Sidang Kemuncak ASEAN, pemimpin utama dunia menghormati Malaysia.

“Saya baru balik daripada Amesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Sidang Kemuncak ASEAN…pemimpin utama dunia menghormati Malaysia.

“Malaysia berjaya di persada antarabangsa kerana kita negara berjaya, bukan boleh diperlekeh sesiapa.

“Pemimpin dunia menghormati kita. Presiden China dan Presiden Amerika Syarikat, Perdana Menteri lain hormati kita. Yang tak hormati kita, satu dua ekor saja dalam negara.

“Yakinlah, kita berada di landasan yang betul ke arah masa depan yang menjanjikan 1001 rahmat kepada rakyat,” katanya.-BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here