KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Kerajaan akan terus memperkenal dan melaksana pelbagai program bagi menghasilkan satu kelompok atau kelas usahawan bumiputera yang lebih teguh dan mantap terutama apabila negara mencapai status negara maju pada 2020, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata walaupun pelbagai usaha untuk merealisasikan matlamat itu telah dilaksana dan ada sedikit kejayaannya, namun ia tidak menampakkan kejayaan sepenuhnya terutama dari segi bilangan dan kedudukannya untuk bersaing dalam pasaran.

“Kita telah berjaya selama ini untuk mewujudkan kelas menengah bumiputera, melalui dasar-dasar kerajaan yang telah mencetuskan apa yang disifatkan sebagai ‘social mobility’ iaitu mereka yang terdiri daripada kumpulan-kumpulan profesional, mereka yang mendapat tempat di institusi pengajian tinggi, yang mendapat kelulusan akademik.

 
05_EKONOMI_200815_Kerajaan Komited Untuk Tingkatkan Bilangan Dan Kukuhkan Kedudukan Usahawan Bumiputra Dalam Pasaran_1“Namun satu lagi usaha kita ialah untuk mewujudkan satu lagi kelompok dalam komuniti bumiputera iaitu dalam kalangan para usahawan,” katanya semasa berucap melancarkan BAHTERA Bumipreneurs of Tomorrow, di sini Rabu.

 

Perdana Menteri berkata dalam ‘langkah terakhir’ sebelum mencapai negara maju, kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk mencapai hasrat itu termasuk mewujudkan badan-badan seperti Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) yang bertujuan menggariskan usaha-usaha untuk pemerkasaan ekonomi bumiputera. Katanya, selain itu kerajaan juga memperkasakan peranan badan-badan atau agensi sedia ada seperti Majlis Amanah Rakyat dan TEKUN serta memperkenalkan dasar-dasar baharu bagi membantu usahawan bumiputera.

 

“Inilah antara yang kita laksanakan terkini termasuk juga iaitu syarikat berkaitan kerajaan yang mempunyai non core business (perniagaan bukan teras) yang boleh dijual kepada usahawan bumiputera dan melakukan partnership dalam perniagaan tertentu, kita lakukan kerana pada akhirnya kita mahu usahawan bumiputera yang mampu bersaing,” kata beliau.

 

Mengenai BAHTERA, Najib berkata ia merupakan satu lagi inisiatif baharu yang juga satu platfom mengumpul data mengenai usahawan bumiputera dan boleh digunakan untuk pemerkasaan mereka.

 

Katanya, dengan adanya data itu nanti, maka kerajaan boleh menyampaikan maklumat secara lebih fokus kepada komuniti usahawan bumiputera tentang bagaimana mereka boleh mengembangkan aktiviti keusahawanan mereka.

 

“BAHTERA ini juga membolehkan usahawan menjalin hubungan dalam perniagaan dan menyokong supply chain (rangkaian bekalan) antara satu usahawan dengan usahawan lain, dan untuk mereka mendapatkan produk dari usahawan lain,” katanya. Perdana Menteri bagaimana pun menekankan, di sebalik pelbagai usaha dan dasar yang dilaksanakan, jalinan kerjasama dan sokongan antara usahawan juga menjadi perkara yang harus diamalkan untuk memperkasakan komuniti usahawan bumiputera.

 

“Kalau kita boleh melihat dimensi tambahan ini, maka saya percaya bahawa ia akan merupakan satu lagi impetus kepada peningkatan pemerkasaan komuniti usahawan bumiputera,” kata beliau.

 

BAHTERA merupakan program kesedaran untuk menyediakan usahawan bumiputera menghadapi alam perniagaan dengan menggunakan teknologi, model perniagaan baharu dan rangkaian niaga untuk memastikan daya kemampanan.

 

Program dua hari bermula Rabu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini menyediakan pelbagai agenda yang memfokuskan untuk membangun dan mengembangkan perniagaan. Ia merupakan inisiatif Kementerian Kewangan dan Unit Strategi Nasional yang turut disertai oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan selain syarikat-syarikat dari komuniti usahawan bumiputera yang turut menyediakan perkongsian ilmu dan bengkel keusahawanan.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here