Sejak bencana banjir besar melanda Pulau Pinang bulan ini, Kerajaan Negeri pimpinan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng terus berada dalam keadaan bergolak. Sebelum ini dapat dilihat bagaimana pentadbiran Guan Eng tidak berjaya mengurus hal bencana berkenaan dengan baik sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati sebahagian rakyat di negeri berkenaan. Isu pembangunan tidak terancang di kawasan tebing menghangatkan lagi kedudukan Guan Eng sebagai pemimpin di negeri berkenaan.

Sememangnya diketahui bahawa walaupun Guan Eng sering menonjolkan bahawa Kerajaan Pulau Pinang turut dianggotai parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH), namun hakikat sebenar DAP amat dominan di negeri berkenaan dan segala macam arahan dan rupa pentadbiran ditentukan oleh parti berkenaan. Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dilihat sebagai sekutu utama pentadbiran DAP di Pulau Pinang dilihat sering dipinggirkan.

Pergolakan yang berlaku antara DAP dan PKR di Pulau Pinang ini bukan isu baru dan hal ini sentiasa berbangkit sepanjang masa. Rasa tidak puas hati PKR terhadap DAP ini terjelma disebabkan sikap Guan Eng yang disifatkan enggan mendengar pandangan parti-parti komponen lain. Kegoncangan dalam pentadbiran Pulau Pinang serta sikap perpecahan yang berlaku ini tela memberikan kesan langsung terhadap pentadbiran di negeri berkenaan di samping terus membuatkan rakyat berada dalam kebingungan.

Terbaru Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR kawasan Kebun Bunga, Cheah Kah Peng yang terkenal dengan kelantangan mengkritik sebarang tindakan tidak betul pentadbiran Guan Eng telah dikenakan sekatan apabila tidak dibenarkan untuk menguruskan pendaftaran mangsa banjir oleh Kerajaan Negeri di kawasan beliau. Langkah ini jelas menunjukkan rasa tidak hormat DAP terhadap pengundi di Kebun Bunga yang telah memilih Kah Peng sebagai wakil mereka.

Sekatan berkenaan juga tidak mempunyai apa-apa penjelasan konkrit yang membuktikan ini merupakan sebahagian daripada usaha DAP untuk mempolitikkan bantuan terhadap mangsa banjir. Amat jelas kepada rakyat bahawa pentadbiran Guan Eng tidak selesa dengan suara Kah Peng yang sering tidak sebulu dengan pentadbiran Kerajaan Negeri. Sebelum ini, Kah Peng bersama-sama empat ADUN PKR lain pada 2015 pernah mengambil pendirian berkecuali dalam usul yang dibawa ADUN BN untuk menghentikan projek penambakan di negeri berkenaan.

Namun suara yang dibawa Kah Peng seakan-akan tidak mendapat perhatian pemimpin PKR. Pengarah Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution enggan mengulas isu berkenaan dan ini jelas satu tindakan tidak sepatutnya dan Kerajaan Negeri dilihat tidak mahu menyelesaikan atau membincangkan hal ini secara terbuka.

Kerajaan DAP Pulau Pinang sewajarnya bertindak mengikut apa yang sering dicakapkan. Demokrasi seperti mati di bawah DAP apabila ADUN yang seangkatan tidak dibenarkan bersuara untuk menentang Kerajaan Negeri walaupun hal yang disuarakan itu bakal memberi manfaat besar kepada rakyat dan negeri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here