Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan Malaysia tidak akan menerima sebarang kesan jika memboikot produk makanan dan hasil pertanian dari negara Kesatuan Eropah (EU).

Timbalan menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ini kerana kebanyakan produk yang diimport dari negara EU merupakan hasil tenusu yang diketahui bukan makanan asas rakyat negara ini.

“Buat apa kita nak takut? Bukan kita import makanan asas seperti beras atau daging dari EU.

“Kita import makanan yang bukan keperluan seperti keju dan produk tenusu lain. Kita tahu bukan semua rakyat menggunakan produk-produk ini. Jadi kita tidak perlu risau kalau kerajaan buat keputusan boikot produk mereka (EU),” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM) Parlimen Pasir Salak ke-4 di Dewan Pekan Rabu, Chenderong Balai hari ini.

Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kerajaan mengkaji semula keputusan membeli barangan dari EU selepas kesatuan berkenaan mengecualikan minyak sawit daripada campuran biofuel dan tenaga boleh diperbaharui menjelang 2021.

Zahid turut menjelaskan sekiranya EU benar-benar melaksanakan pengharaman itu, ia akan memberi kesan buruk kepada negara, khususnya 650,000 pekebun kecil sawit tempatan.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata, pihaknya turut meminta semua kementerian mengeluarkan senarai penuh produk dimport dari EU bagi membolehkan tindakan lanjut dilakukan.-BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here