Kerajaan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS) bagi tujuan memperkasakan sistem perundangan Syariah secara keseluruhan selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata penubuhan jawatankuasa khas berkenaan dipersetujui pada Mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

Beliau berkata inisiatif itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam usaha memperkasakan Mahkamah Syariah secara holistik demi kepentingan umat Islam dan keprihatinan kerajaan terhadap semua input yang diterima daripada semua pihak.

“JKMMS merupakan satu platform yang berwibawa bagi menambah baik sistem perundangan kehakiman syariah sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jamil Khir berkata beberapa kluster akan diwujudkan di bawah jawatankuasa ini membincangkan perkara berkaitan pengharmonian antara undang-undang sivil dan syariah; cadangan pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355);  pengurusan dan penstrukturan Mahkamah Syariah; latihan hakim dan pegawai syariah; pendidikan undang-undang syariah; dan hal ehwal berkaitan peguam syari’e.

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan akan dianggotai wakil majlis agama Islam negeri-negeri, ahli akademik, wakil Jabatan Peguam Negara dan aktivis masyarakat, mantan pimpinan tertinggi sektor awam serta tokoh-tokoh berwibawa dalam hal perundangan di Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

  • Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here