BUAT ke sekian kalinya, YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak semalam mengunjungi Sabah bersempena dengan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang ke-32 yang diadakan di Penampang. Turut hadir dalam perhimpunan tersebut adalah Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman selain kepimpinan PBS sendiri yang diterajui presidennya Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Lawatan Najib ke Sabah bagi merasmikan persidangan PBS semalam memperlihatkan satu lagi komitmen tidak berbelah bahagi Najib kepada kepentingan dan kebajikan Sabah sebagai salah satu daripada negeri-negeri yang membentuk Malaysia. Malah, pada lawatannya semalam, Najib juga merasmikan Pakej Kerja ke-6 Projek Lebuhraya Pan-Borneo, satu lagi manifestasi komitmen kepimpinan kerajaan dan Najib sendiri untuk melihat projek infrastruktur rakyat terus dibangun dan diperkasakan di Sabah.

MA63 Dan Keterbukaan Najib

Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah isu yang nampaknya akan terus diperkatakan dan diperjuangkan Sabah untuk beberapa tempoh yang akan datang. Sebagai pemimpin yang cakna dengan sentimen rakyat, Najib sendiri tidak lupa untuk bercakap mengenai hal itu dalam rangka lawatan kerjanya semalam. Walaupun sebarang pertikaian dan perbincangan mengenai hak Sabah dalam MA63 sebelum ini seolah-olah menjadi ‘pantang larang’ dalam pemerintahan terdahulu, kepimpinan Najib membuktikan bagaimana Putrajaya hari ini begitu terbuka dalam mendepani sebarang isu berkaitan yang berbangkit.

Ini dibuktikan dalam ucapan Najib semalam. Katanya, kerajaan persekutuan tidak pernah sesekali berhasrat untuk merampas mahupun mengambil mana-mana hak Sabah, dan sekiranya kerajaan sememangnya pernah ‘terambil’ hak tersebut, maka wajiblah bagi kerajaan untuk memulangkan semula hak itu kepada Sabah. Najib kemudiannya menegaskan bahawa perjuangan menuntut dan mendapatkan kembali hak Sabah bukanlah perjuangan yang dilakukan oleh PBS dan Sabah secara bersendirian, malah ianya adalah satu perjuangan bersama yang turut disertai kerajaan pusat.

’Penyesalan’ Mahathir Sudah Terlambat

Hari ini kita melihat bagaimana rakyat di Borneo, iaitu Sabah dan Sarawak, begitu terbuka dalam membicarakan isu MA63 ini. Malah, kerajaan pusat yang ada pada hari ini juga nampaknya sangat berlapang dada dengan memberikan ruang dan peluang kepada pihak-pihak yang berkaitan dalam membicarakan isu yang serupa. Tidak ada pun kita melihat sebarang tindakan undang-undang afirmatif yang diambil kerajaan untuk ‘membanteras’ suara-suara ini. Malah, apa yang kita lihat adalah kerajaan pusat pula yang mengambil serius mengenai kesemua perkara yang dibangkitkan mengenai MA63.

Kalau dahulu akta tertentu khususnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (Internal Security Act – ISA) digunakan oleh bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengugut dan mendiamkan suara-suara ini, hari ini Najib membuktikan bahawa tindakan seumpama itu hanya bersifat drakonian, tidak demokratik dan sangat terkebelakang. Malah, langkah autokratik seperti itulah yang tentunya berpotensi meruntuhkan kesepakatan dan perpaduan rakyat, apatah lagi sebuah kerajaan. Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili sendiri pernah ‘dikurung’ Mahathir selama dua bulan atas isu tersebut. Apabila pentadbiran Najib memutuskan untuk menghapuskan ISA, ia seharusnya membuka mata rakyat mengenai ketelusan dan kejujuran Najib untuk melihat bukan sahaja rakyat Sabah, malah rakyat Malaysia keseluruhannya untuk terus maju seiring dengan nilai dan hak yang dijamin sebuah demokrasi terpimpin.

Kebijaksanaan Kepimpinan Negeri

Maka, rakyat Malaysia pada hari ini, khususnya di Sabah dan Sarawak, tentunya mempunyai hak untuk kembali mempersoalkan mengapa baru kini Mahathir bercakap mengenai soal mengembalikan hak Sabah dan Sarawak? Apa yang dituturkan beliau pada hari ini begitu bertentangan dengan apa yang beliau sendiri lakukan sepanjang 22 tahun pemerintahannya sebagai perdana menteri Malaysia. Bukan rahsia lagi bahawa sepanjang pentadbiran Mahathir, Sabah dan Sarawak hanyalah umpama ‘anak-anak tiri’ yang perasaan dan kebajikan mereka tidak begitu dijaga. Sabah dan Sarawak di bawah Mahathir dikenali mundur walaupun kaya dengan pelbagai sumber alam.

Hari ini situasinya berbeza sama sekali di bawah kepimpinan bersepadu Najib-Musa-Abang Johari di mana keluhan Sabah dan Sarawak tidak lagi diabaikan. Pembangunan semakin rancak dan sentimen rakyat sememangnya diambil peduli. Nyatalah, janji Mahathir untuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak di bawah MA63 hanyalah satu langkah politik berkepentingan setelah menyedari ‘kesilapan’ yang dilakukannya di kedua-dua negeri ini sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri. Mahathir tahu, tanpa sokongan rakyat Sabah dan Sarawak, mustahil beliau dapat menumbangkan Najib.

Pembangunan Ekonomi Yang Menakjubkan

Setelah sekian lama hak mereka ‘didiamkan’, pentadbiran Najib hadir membuka pintu untuk Sabah terus maju dan tidak lagi dipinggirkan dalam arus pembangunan negara. Bukti komitmen ini jelas terlihat dalam peruntukan kerajaan untuk Sabah dalam pembentangan Bajet Negara 2018 yang lalu. Dengan bajet negeri yang dibentangkan Musa pada Jumaat lalu, Sabah tidak akan menoleh ke belakang lagi. Sejumlah RM 4.1 bilion telah diperuntukkan untuk perbelanjaan tahun depan dengan kenaikan bantuan khas sebanyak 100% kepada wanita, ibu tunggal, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), belia dan masyarakat desa. Anggota perkhidmatan awam di negeri itu juga menerima bantuan kewangan khas sebanyak RM1,500, jumlah yang naik tiga kali ganda berbanding tahun lalu.

Hakikat ini memperlihatkan bagaimana Sabah sebagai sebuah negeri yang dahulunya ‘mundur’, hari ini mempamerkan pengukuhan ekonomi yang sangat menakjubkan, sekaligus menjadi cerminan kepada pembangunan terancang yang usahanya digembleng kepimpinan terpuji Najib dan Musa. Maka kita katakan bahawa rakyat Sabah pada hari ini sangat beruntung kerana dapat ‘menuai’ nikmat yang bukan sedikit hasil daripada kebijakan Musa menguruskan negeri dan keprihatinan Najib sendiri dalam dalam memimpin negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here