hari malaysia

HARI ini kita menyambut Hari Malaysia, menandakan genapnya 54 tahun pembentukan negara yang tercinta ini dengan kemasukan Sabah dan Sarawak pada tahun 1963. Kemasukan kedua-dua negeri yang cukup besar itu juga menambahkan lagi warna kepelbagaian dalam adat dan budaya rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Walaupun negara ini terbahagi kepada 13 negeri dan tiga wilayah persekutuan, sejarah perjuangan bagi membentuk Malaysia bolehlah kita anggap secara kasarnya bertitik tolak daripada penjajahan Portugis ke atas Melaka pada tahun 1511. Umum mengetahui, selepas penjajah Belanda, British dan Jepun datang bersilih ganti, Persekutuan Tanah Melayu akhirnya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 sebelum pembentukan Malaysia sempurna enam (6) tahun berikutnya.

Perjuangan membina negara ini bukanlah mudah. Pelbagai liku dan onak duri dilalui oleh ibu bapa, datuk dan nenek moyang kita semata-mata bagi memerdekakan bangsa Malaysia dari cengkaman penjajah. Jerih payah mereka yang sanggup bertoleransi sesama sendiri bagi tujuan itu akhirnya melahirkan kehidupan harmoni yang kita pertahankan sehingga sekarang.

Kepelbagaian Sebagai Kekuatan Malaysia

Kepelbagaian dalam masyarakat yang kita lihat pada hari ini menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara contoh bukan sahaja di rantau ini, malah di seluruh dunia. Ketika mana pelbagai negara lain yang mempunyai rakyat pelbagai bangsa memperkenalkan beberapa pendekatan yang secara perlahan-lahan menghakis identiti bangsa-bangsa tersebut, Malaysia sebaliknya terus mengiktiraf perbezaan latar belakang bangsa yang wujud dalam kalangan rakyatnya melalui kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan dan budaya masing-masing.

Justeru, kita melihat pelbagai institusi berteraskan kaum dan bangsa khususnya dalam aspek pendidikan terus dikekalkan dan dipertahankan sehingga ke hari ini. Biarpun di sana terdapat pelbagai desakan bagi menghapuskan institusi-institusi sebegini, namun kebijaksanaan para pemimpin dan sikap toleransi rakyat akhirnya terus mengimbangi suasana dan isu yang timbul.

Agama dan budaya yang pelbagai dalam masyarakat kita pada hari ini juga menyaksikan rakyat bersama-sama meraikan perayaan-perayaan terbesar negara. Sikap bertoleransi dan sokong-menyokong dalam menyambut perayaan ‘Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baru Cina dan Krismas yang juga disambut secara besar-besaran di Sabah serta Sarawak membuktikan rakyat terus meraikan kesatuan dalam kepelbagaian yang ada.

Dengan kepelbagaian ini, rakyat dari pelbagai latar belakang dapat mengenali antara satu sama lain. Perbezaan yang terzahir dari segi amalan kepercayaan dan budaya yang ada telah memberikan kefahaman yang bersepadu kepada rakyat bahawa sensitiviti agama dan kaum di Malaysia ini tidak wajar sama sekali disentuh dan diusik.

Jelas, kepelbagaian adalah kelebihan dan kekuatan kita. Sukan SEA ke-29 yang baharu sahaja berlalu menjadi satu manifestasi keazaman rakyat yang bersatu hati menyokong para atlet negara yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum. Menjadi pemenang keseluruhan sukan dwitahunan itu sememangnya pencapaian yang sangat membanggakan buat Malaysia, tetapi melihat penyatuan rakyat dalam kepelbagaian agama, bangsa dan budaya memberikan sokongan kepada negara adalah satu kepuasan dan nikmat yang tidak tergambar dengan kata-kata.

Menguruskan Perbezaan

Di sebalik keunikan dalam kepelbagaian yang ada, kita juga harus mengakui tempoh penjajahan yang dilalui selama kira-kira 446 tahun sebelum ini menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang masih ‘muda’. Mengambil kira pembentukannya yang baharu sahaja menjengah ke tahun yang ke 54, ia tentulah masih lagi menghadapi pelbagai cabaran dalaman dan luaran yang berpotensi meranapkan kemajuan yang telah dikecapi selama ini jika tidak diuruskan dengan baik.

Secara kasarnya, kaum Melayu, Cina dan India serta masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak adalah merupakan kelompok terbesar yang membentuk masyarakat majmuk di Malaysia. Tentunya dengan kepelbagaian latar belakang dari segi kepercayaan, bangsa, adat dan budaya itu sedikit sebanyak membuka ruang perbezaan dalam banyak perkara.

Perbezaan ini boleh kita lihat dengan jelas dalam sentimen dan ideologi politik misalnya selain pelbagai tuntutan lain yang dikemukakan kepada kerajaan oleh entiti-entiti negeri dan kumpulan-kumpulan pendesak dalam banyak perkara. Walau bagaimanapun, apabila rakyat meletakkan keharmonian dalam kehidupan masyarakat sebagai garis asas, kita yakin dan percaya perbezaan dan tuntutan-tuntutan itu akan dibuat dalam kerangka perjanjian yang disepakati sejak awal pembentukan negara.

Syukuri Keamanan, Hargai Perpaduan

Sesungguhnya, perjalanan membentuk Malaysia yang kita dan dunia kenal pada hari ini merupakan perjalanan yang panjang dan ianya tentu masih jauh. Justeru, nikmat keamanan dan keharmonian yang kita kecapi dan warisi sehingga ke hari ini usah dipandang ringan kerana di sana sentiasa wujud anasir-anasir jahat yang mahu melihat rakyat Malaysia berpecah dan negara ini runtuh. Maka seharusnyalah kita terus memelihara dan memperkasa perpaduan yang telah dibina selama ini. Siapa lagi ejen perpaduan rakyat kalau bukan kita sendiri.

Dalam menyambut hari yang bermakna ini, kita perlu melihat tarikh 31 Ogos dan 16 September itu sebagai saling berkait. Jika 31 Ogos adalah tarikh kita memperingati perjuangan menuntut kemerdekaan, tarikh 16 September pula merupakan tarikh yang sepatutnya mengingatkan kita betapa perpaduan dalam kepelbagaian masyarakat adalah elemen terpenting dalam menggerakkan dan terus melayarkan bahtera negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here