Ceramah atau kempen politik adalah satu perkara biasa yang dilakukan oleh mana-mana parti politik bagi mendapatkan pengaruh dan meraih sokongan khalayak yang mendengarnya. Biasa juga kita mendengar ceramah-ceramah yang dipenuhi retorik dan cakap-cakap manis demi mencapai kejayaan dalam matlamat lebih besar seperti pilihan raya umum. Namun begitu, untuk mendapatkan sokongan melalui kempen dan ceramah ini ia perlu dilakukan secara berhemah serta memahami tatasusila kita sebagai rakyat Malaysia.

Baru-baru ini kita digemparkan dengan kandungan ceramah oleh Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang disampaikan dengan penuh emosi sehingga berterabur fakta dan kebenarannya. Demi menarik sokongan pengundi, Muhkriz yang pernah menjadi seorang Menteri Besar sanggup mengeluarkan kenyataan yang dilihat seperti menghina negara sendiri.

Dalam ceramahnya itu, Muhkriz memaklumkan semasa berada di luar negara beliau malu mengaku sebagai rakyat Malaysia dan menyebut dirinya dari negara Brunei Darussalam apabila ditanya orang semasa di luar negara. Begitulah pandangan buruk seseorang yang kononnya berjuang untuk negara. Muhkriz berada di garisan yang kelam sehingga terlupa apakah politik dan apakah negara. Jika benar sekalipun Mukhriz membenci parti pemerintah, namun beliau seharusnya masih mampu mempertahankan nama negaranya sendiri.

Tindakan Mukhriz ini mengundang kecaman ramai, malah ada yang mempersoalkan kredibiliti beliau melaung-laungkan slogan Selamatkan Malaysia seperti yang selalu dijeritkan pembangkang, sedangkan beliau sendiri berani menyebut tentang perasaan malunya untuk mengaku sebagai rakyat Malaysia. Malah ramai pula yang bimbang jika Mukhriz berani mengeluarkan kenyataan sedemikian, bagaimana pula beliau sanggup meminta rakyat mengundinya dan mengangkat beliau sebagai sebahagian daripada pemimpin negara ini.

Bagaimanakah kita mahu menerima seorang pemimpin yang malu mengaku dia berasal dari negara bertuah ini? Keadaan inilah yang harus menjadi pertimbangan rakyat Malaysia dan apa yang diungkapkan Mukhriz itu menjadi petanda penting bagaimana pembangkang kini bankrap idea dan terpaksa menjual budaya politik murah dengan harga lelong. Ungkapan sebegini hanya memberikan pengaruh negatif dan menjelaskan kepada kita bagaimana pembangkang telah gagal dalam membentuk kematangan dalam berpolitik.

Ketika berpusu-pusu rakyat di luar negara begitu menginginkan keamanan seperti di Malaysia dan ramai di luar sana yang mahu menjadi rakyat Malaysia, amat sedih untuk melihat seorang pemimpin politik di Malaysia masih tergamak mengeluarkan kata-kata seperti tidak berbangga dengan negara sendiri. Sikap patriotik dan sayangkan negara sewajarnya melangkaui sentimen politik dan ini harus difahami dengan jelas sebelum seseorang itu mahu menjadi pemimpin. Kegagalan untuk membezakan semangat cintakan negara dengan kebencian terhadap lawan politik ialah kegagalan paling teruk untuk seorang pemimpin yang menanam harapan kepada rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here