Parti Tindakan Demokratik (DAP) sering menjadi sasaran utama Barisan Nasional (BN) dalam serangan psikologi dan kempen-kempen ofensif yang digerakkan terhadap parti-parti pembangkang. Pendekatan ini mudah kerana DAP dikuasai oleh kaum Cina dan mereka merupakan parti dominan dalam kalangan parti-parti pembangkang khasnya apabila berkaitan dengan jumlah kerusi di Dewan Rakyat.

Dalam kempen-kempen yang digerakkan BN khususnya UMNO, pendekatan DAP akan menyebabkan orang Melayu hilang kuasa dan segala hak dan keistimewaan golongan bumiputera akan gagal dipertahankan merupakan hujah paling utama yang digunakan. DAP telah dijadikan sebagai ‘hantu’ untuk menakut-nakutkan orang Melayu. Strategi ini sebenarnya berkesan kerana sehingga kini, kebanyakan orang Melayu khasnya di luar bandar, masih ragu-ragu untuk mengundi pakatan pembangkang disebabkan kehadiran DAP di dalamnya.

Pertikaian berterusan antara DAP dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengenai isu perundangan Islam dan pindaan Akta 355 yang berkaitan dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah juga sedikit sebanyak telah menimbulkan keraguan kepada segelintir masyarakat Melayu. UMNO sentiasa melihat serangan dalam bentuk isu hak bumiputera dan kekuasaan Melayu dengan menggunakan DAP ialah peluru terpenting bagi memastikan kemenangan besar dapat dikecapi dalam pilihan raya umum akan datang.

Namun begitu, serangan UMNO terhadap DAP kini mula menimbulkan keraguan kerana baru-baru ini Ketua Biro Publisiti MCA, Datuk Chai Kim Sen telah mengeluarkan kenyataan mewakili parti berkenaan yang melahirkan rasa tidak puas hati terhadap DAP kerana didakwa telah meminggirkan masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu. MCA dalam kenyataan itu juga mempersoalkan tindakan Kerajaan Pulau Pinang yang diterajui DAP lebih banyak membantu golongan bumiputera berbanding kelompok lain.

Dalam kenyataan berkenaan, Kim Sen mendakwa Kerajaan DAP Pulau Pinang telah membelanjakan RM4.5 juta untuk hal ehwal Islam di negeri berkenaan, tetapi Cuma RM7.7 juta diperuntukkan untuk lain-lain agama. Selain itu, MCA juga tidak berpuas hati kerana 90% pemberian kontrak kerajaan telah diperoleh golongan bumiputera di samping bantuan RM8 juta Kerajaan Pulau Pinang kepada 20 buah sekolah agama.

MCA juga secara terang-terangan mendakwa Pulau Pinang di bawah DAP lebih banyak menyediakan peruntukan kepada bumiputera dan turut mengandaikan slogan ‘Malaysian Malaysia’ yang dipelopori DAP dan sering digunakan untuk menakutkan pengundi Melayu oleh UMNO sudah terkubur.

Langkah MCA membuat kenyataan seperti ini sebenarnya boleh membunuh kepercayaan rakyat terhadap BN dan secara tidak langsung MCA telah menjalankan kempen bagi pihak pembangkang. Kenyataan ini memberikan kesan ketara terhadap kepercayaan pengundi Melayu di Pulau Pinang terhadap BN. Hal ini jelas mengelirukan kerana UMNO menyatakan DAP tidak membantu orang Melayu, tetapi MCA mendakwa sebaliknya. Sewajarnya kempen atau kenyataan seperti ini perlu diperhalusi secara baik oleh UMNO dan MCA sebelum dihebahkan kepada umum kerana implikasi yang terjadi amat buruk dan mampu menjerat BN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here