Soal kedaulatan sesebuah negara tidak mempunyai kaitan dengan permainan politik ini kerana kedaulatan ialah hal terpenting yang wajar dipertahankan dan tidak mengira apa parti pun yang memenangi pilihan raya umum, tidak ada apa-apa yang lain wajar menjadi taruhan terhadap kedaulatan negara yang dicintai. Aspek kedaulatan negara sering dikaitkan dengan campur tangan negara asing terhadap pentadbiran sesebuah negara. Sebagai sebuah negara merdeka, Malaysia mempunyai hak dan tanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan tidak ada negara-negara asing yang mencampuri urusan dalaman dan pentadbiran negara.

Namun begitu, kenyataan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Majlis Anugerah dan Konvensyen Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang juga parti pemerintah di negara republik berkenaan amat mendukacitakan. Hsien Loong dalam ucapannya memperlekeh dan mempertikai usaha Malaysia yang memohon semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang sebelum ini memutuskan Pulau Batu Putih menjadi milik Singapura.

Walaupun ucapan beliau dilihat mengutarakan pandangan mengenai keperluan Singapura untuk menjalinkan hubungan baik dengan semua negara, namun apabila menyentuh tentang Malaysia, Hsien Loong mengeluarkan kenyataan yang tidak mencerminkan sikap positif, sebaliknya seperti meragui langkah Malaysia. Semakan semula terhadap keputusan ICJ bukanlah satu hal yang pelik dan tidak pernah berlaku. Malah menjadi hak kepada sesebuah negara untuk melakukan sedemikian jika memperoleh sebarang bukti baru yang signifikan terhadap sesuatu kes.

Hsien Loong dalam ucapannya itu menganggap tidak mengetahui apa motif Malaysia membangkitkan semula kes berkenaan dan Hsien Loong juga membuat andaian bersifat rambang dengan mengaitkan usaha penting Kerajaan itu dengan tindakan cuba meraih sokongan rakyat ketika pilihan raya umum semakin hampir. Namun begitu, andaian rambang Hsien Loong itu jelas tidak berasas kerana semakan semula yang dikemukakan Malaysia bukan baru dibuat dalam masa terdekat ini, tetapi telah dimulakan sejak Februari 2017.

Sehubungan itu, amat tidak wajar untuk Hsien Loong mengaitkan cubaan berkenaan sebagai usaha untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya. Namun Hsien Loong sebagai seorang pemimpin sebuah negara yang dikatakan gah dari sudut ekonomi, wajar memiliki pandangan jauh dan menghormati hak-hak sebuah negara seperti yang telah termaktub di dalam Konvensyen Vienna. Kegagalan Hsien Loong untuk memahami hal seperti ini adalah amat memalukan.

Malaysia secara umumnya tidak pernah mencampuri atau mengeluarkan apa-apa kenyataan yang menyentuh hal-hal dalaman Singapura atau sebarang usaha yang digerakkan oleh Republik itu untuk mempertahan kedaulatan negaranya. Malah Malaysia menghormati apa yang diputuskan oleh negara berkenaan untuk kebaikan sendiri. Prinsip yang dipegang kukuh oleh pentadbiran Malaysia sewajarnya dijadikan contoh kepada Hsien Loong untuk lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan menyentuh mengenai kedaulatan dan hak negara lain. Lebih-lebih lagi negara berjiran yang mempunyai persamaan sejarah dan sosio-budaya seperti Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here