Mengenali sosok bernama Hishamuddin Rais merupakan satu pengalaman yang cukup menyegarkan kerana beliau sentiasa memiliki pandangan yang tajam dalam apa-apa bidang yang diperkatakannya. Beliau lebih dikenali sebagai aktivis politik yang cenderung menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun beliau menganggap dirinya sebagai Non-Govermental Individual (NGI). Hishamuddin yang terkenal melalui blog Tukar Tiub dan mudah disapa sebagai Isham Rais atau Isham dalam kalangan kawan-kawan boleh dianggap sebagai salah seorang aktivis yang memiliki keupayaan politik yang berbeza.

Beliau berpijak atas dasar realisme dan bukan berpaksikan politik idealistik, sikap realis beliau sebenarnya membentuk cara beliau memandang isu. Beliau tidak melihat sesuatu itu sebagai hal-hal yang terkait dengan hubungan individu dan Isham dalam soal politik berjaya mengasingkan kecenderungan ini. Lihat sahaja beliau yang dikenali sebagai salah seorang pengkritik tegar Tun Dr Mahathir Mohamad, telah memberikan sokongan kepada bekas perdana menteri itu untuk menerajui Pakatan Harapan (PH) dan bagi Isham ini bukan soal menyokong Tun M, tetapi ini soal kelangsungan hidup PH untuk mengukuhkan kedudukan bagi memenangi pilihan raya umum akan datang. Matlamat utama Isham tiada lain selain daripada menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Umum mengetahui bagaimana Isham mempunyai hubungan yang rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejak dari zaman perjuangan pelajar di era Universiti Malaya pada tahun sekitar 1970an. Walaupun Anwar memiliki kecenderungan politik berlandaskan ideologi Islami dan Isham tegar dikenali sebagai pendokong sosialis, namun itu tidak memisahkan mereka daripada menggerakkan sokongan rakyat terhadap pelbagai isu.

Isham juga merupakan antara individu terawal yang bangkit mempertahankan Anwar Ibrahim semasa beliau dipecat daripada UMNO dan Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998. Seperti dinyatakan tadi, Isham boleh digambarkan sebagai seorang realis dan sentiasa mengutamakan kebenaran dan pandangan yang lurus untuk memastikan organisasi dapat berjalan lancar. Sokongan Isham bukan berpaksikan kepada mana-mana pemimpin atau kawan-kawan tetapi cenderung untuk memastikan kemenangan pakatan pembangkang.

Semalam dalam satu kenyataan kepada sebuah portal berita dalam talian, Isham dilihat telah menyelar Anwar sebagai tidak berjaya memainkan peranan secara berkesan dan hal ini menurut Isham kerana dari dalam penjara Anwar tidak mampu untuk memimpin dengan kuat. Isham juga telah menyarankan Anwar menumpukan usaha untuk membentuk pemikiran dan menulis buku yang boleh dijadikan panduan perjuangan kepada rakyat.

Isham turut mempertikai cara Anwar mengendalikan arahan kepada parti khasnya mengenai isu kerjasama dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS) sehingga menyebabkan timbul kekeliruan yang tidak diperlukan dan menyebabkan perbezaan pandangan gagal diuruskan dengan baik. Dari dalam penjara menurut Isham Anwar tidak mendapat maklumat yang jelas serta gambaran yang sebenar sehingga menyebabkan keputusan yang dibuat mudah untuk dipertikaikan.

Amat jarang untuk kita membaca kenyataan umum kepada media oleh Isham, namun suara beliau ini tidak wajar dipandang ringan memandangkan beliau merupakan salah seorang aktivis terpenting kepada PKR dan suara daripada beliau wajar dinilai dengan teliti oleh pucuk pimpinan parti. Namun begitu, hal disebutkan Isham ini juga secara tidak langsung memaparkan mengenai permasalahan kepimpinan yang serius sedang dialami PKR, di mana mereka masih terpaksa bergantung kepada Anwar untuk memberikan arahan dan pandangan bagi menyelesaikan sesuatu isu.

Adakah PKR sebenarnya mengalami krisis kepimpinan yang begitu meruncing, sehingga tiada sesiapa di luar penjara yang boleh membuat keputusan dan menguruskan segala perbezaan pandangan yang berlaku dengan baik dan teratur?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here