Anak Muda Melayu

TARIKH Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) masih lagi menjadi teka-teki dan dinantikan oleh seluruh rakyat negara ini.

Namun, di sebalik penantian itu, masih ada perkara yang belum diselesaikan iaitu mendaftarkan diri sebagai pengundi terutama membabitkan anak muda yang telah layak untuk berbuat demikian.

Walaupun ia bukan perkara baharu, namun kesedaran perlu terus diberikan kepada golongan muda untuk mendaftar mengundi dan menunaikan kewajipan mereka.

Ini kerana, berdasarkan rekod, daripada 3.8 juta yang belum mendaftar pengundi setakat 31 Mac 2017, lebih 2.5 juta atau hampir 70 peratus terdiri dari anak muda sendiri.

Jumlah 2.5 juta bukan angka yang kecil, namun kenapa masih tiada kesedaran di dalam kalangan anak muda untuk mendaftar menjadi pengundi?

Lebih mengejutkan lagi, hampir 1.8 juta orang (45 peratus) yang tidak mendaftar itu merupakan anak muda Melayu.

Kesedaran tersebut juga kurang dalam kalangan pelajar universiti kerana dalam purata 5,000 pelajar berumur 21 tahun, hanya 2,000 atau 40 peratus sahaja yang sudah mendaftar sebagai pemilih.

Kenapa semua itu berlaku?

Di manakah kelibat anak muda Melayu ini? Apa susah sangatkah mahu mendaftar dan menjadi pengundi?

Adakah mereka ini rendah jati diri atau tidak mempunyai sema­ngat patriotik membela masa depan negara melalui proses demokrasi?

Atau adakah mereka memang tidak tahu kepentingan mengundi untuk masa depan mereka?

Susah sangatkah mahu mendaftar sebagai pengundi dengan pelbagai kemudahan dan saluran yang sudah disediakan SPR?

Prosesnya cukup mudah sekali.

Orang ramai khususnya anak muda hanya perlu pergi ke mana-mana kaunter pendaftaran di pejabat SPR atau pejabat pos berdekatan dengan membawa kad pengenalan dan mengisi borang.

Proses pendaftaran bukannya lama sangat pun. Hanya 5 minit sahaja.

Adakah untuk melakukan proses itu pun anak muda berkira dan tidak ada masa lapang berbuat demikian?

Atau adakah mereka tidak mahu bersusah-susah mencari tempat letak kenderaan?

Seharusnya, mereka mengambil teladan daripada kesungguhan bangsa lain khususnya Cina yang begitu bersemangat untuk ubah nasib mereka melalui proses demokrasi.

Kenapa bangsa lain begitu bersemangat berbuat demikian tetapi tidak bagi anak muda Melayu?

Adakah disebabkan oleh sikap semula jadi bangsa Cina yang berorganisasi, berpersatuan dan lebih prihatin terhadap sekeli­ling mereka?

Bila ada sahaja penganjuran untuk pendaftaran pengundi oleh parti mereka atau SPR, berduyun-duyun anak muda mereka kunjungi kaunter pendaftaran.

Sebab itu tidak mustahil di kebanyakkan tempat, kadar peningkatan pengundi orang Cina cukup tinggi.

Ini sama ada pengundi baharu atau pun yang berpindah tempat mengundi.

Buktinya, laporan semasa proses bantahan pengundi di Selangor memperlihatkan lebih 90 peratus daripada 4,000 pengundi yang dibantah terdiri daripada bangsa Cina.

Parti politik Melayu juga perlu mengubah sikap. Tidak harus berlapang dada mengharapkan SPR semata-mata.

Sepatutnya mereka mengambil iktibar melihat parti politik lain yang amat agresif menyuntik kesedaran kepada anak bangsa mereka.

Beginilah sikap sebilangan Me­layu. Peluang terbentang luas dipersiakan tanpa dimanfaatkan hak yang ada.

Mereka sering mengamalkan budaya ‘biarlah orang lain buat dulu, nanti kita buatlah’.

Adakah orang Melayu akan maju jika pendekatan ini terus diamalkan?

Sikap tidak prihatin dan pandang remeh tanggungjawab mendaftar dan mengundi ini akan menjadikan masa depan orang Melayu kelam andai tampuk kerajaan jatuh ke tangan orang lain.

Jika Melayu hilang kuasa politiknya, dengan kuasa apa lagi yang mereka boleh harapkan. Hendak mengharapkan kuasa ekonomi, faham-fahamlah.

Hendak mengharapkan kuasa perpaduan, jurangnya semakin melebar pula dengan wujudnya satu dua lagi parti Melayu yang menyemarakkan lagi perpecahan orang Melayu.

Kepada anak muda Melayu, janganlah anda terus diulit keselesaan sementara yang dikecapi pada hari ini.

Segera laksana tanggungjawab mendaftar pengundi demi memastikan ketuanan Melayu terus kekal untuk membe­la nasib bangsa Melayu.

Bangkit dan sedarlah wahai anak muda yang sudah cukup umur 21 tahun yang masih terawang-awang dan degil.

Janganlah kita terus terbuai dengan janji-janji dan harapan tak pasti dan menyesal kerana gagal mengundi akibat tidak mendaftar pada PRU nanti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here