TN50

Baru-baru ini firma ekonomi terkemuka dunia PWC telah mengeluarkan laporan ramalan ekonomi dunia untuk tahun 2050 dan laporan ini boleh disifatkan sebagai komprehensif dengan model dan bentuk kajian yang digunakan merupakan antara yang terbaik di dunia. Dalam laporan berkenaan turut disenaraikan 32 negara yang dijangka bakal menjadi gergasi ekonomi dunia menjelang tahun 2050.

Lebih menarik Malaysia telah diletakkan pada kedudukan ke-24 dengan saiz ekonomi negara dijangka berkembang sehingga ke tahap USD2.815 trilion (RM12.06 trilion) pada tahun 2050. Ramalan PWC ini merupakan sesuatu yang agak unik memandangkan pihak pembangkang sering menjaja kisah Malaysia menuju ke ambang negara gagal dan tidak mampu berkembang.

Pembangkang sering menganggap ekonomi negara kita bermasalah dan tidak mampu bersaing di peringkat global. Namun, laporan daripada PWC ini ternyata sesuatu yang mampu mendiamkan kritikan berkenaan. Berasaskan kepada dasar kewangan dan pengurusan ekonomi makro yang berkualiti, Malaysia bakal menjadi lebih baik dan hasrat untuk muncul sebagai negara ekonomi utama dunia bakal tercapai.

Dalam laporan berkenaan, PWC juga mencatatkan Malaysia bersama-sama Poland sebagai negara yang melihatkan pertumbuhan ekonomi pantas untuk kategori negara bersaiz sederhana. Ini sekali lagi membuktikan dasar-dasar ekonomi dan pembangunan negara berada di landasan yang tepat dan harus diperkukuh dengan program-program penting bagi membolehkan rakyat merasai kemakmuran yang dikecapi ini.

Laporan PWC ini membuat ramalan tentang ekonomi dunia 2050 dan ini ternyata bertepatan dengan aspirasi YAB Perdana Menteri melalui Transformasi Nasional 2050 (TN50). Program-program yang dirangka melalui TN50 sedang bergerak pantas dan kita sebagai rakyat Malaysia harus memberikan sokongan padu yang berterusan terhadap usaha ini.

Ternyata sasaran yang ditetapkan oleh Kerajaan bukan sesuatu yang mustahil kerana berasaskan kepada laporan ini, ekonomi negara boleh berkembang ke tahap yang lebih baik. Namun, ramalan ini akan kekal menjadi ramalan dan sukar untuk diterjemahkan ke realiti jika terdapat usaha sesetengah pihak yang cuba mensabotaj ekonomi negara. Kita harus mengetepikan sentimen negatif yang tidak berpaksikan fakta, sebaliknya harus sama-sama berusaha untuk memastikan matlamat muncul sebagai negara maju mampu dicapai.

Kerajaan juga tidak harus selesa dengan jangkaan seperti ini, tetapi harus melihat dengan teliti masalah dan keperluan rakyat yang wajar dipenuhi. Dari sudut ekonomi makro, kejayaan mungkin sudah hampir, tetapi dari sudut ekonomi mikro, banyak lagi yang Kerajaan dan seluruh warga Malaysia perlu usahakan secara lebih giat. Misalnya memenuhi keperluan asas rakyat termasuk pembekalan elektrik dan air 100 peratus ke seluruh pelusuk negara.

Oleh itu, pihak pembangkang yang terlalu kebergantungan melampau terhadap DAP ianya amat melucukan apabila menyifatkan dasar TN50 ini tidak lebih daripada gimik politik menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Semua pihak tahu bahawa janji yang dilafazkan oleh Barisan Nasional(BN) merupakan janji yang ditepati samada lambat atau cepat bergantung kepada kekangan masa. Bukan gaya BN menabur janji bulan bintang yang tidak mungkin dapat dikotakan. Ini bukan janji air liur di mana setiap dasar yang dibuat berpaksikan kepada pelaksanaan yang mampu membawa perubahan positif kepada rakyat Malaysia.

Menjelang tahun 2050 dan ketika negara bakal menyambut hari kemerdekaan ke-60, Malaysia harus menetapkan aspirasi terpenting untuk memastikan keperluan asas rakyat terjaga dan terpelihara dan selepas itu, sudah pasti kita boleh bergerak dengan lebih laju untuk menjadi negara maju.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here