Trump

PERDANA MENTERI, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima jemputan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk pertemuan kedua-dua pemimpin itu yang dijadualkan di Rumah Putih pada 12 September ini.

Pertemuan itu dijangka menjadi mercu tanda baharu bagi hubungan Malaysia dan AS dalam suasana geopolitik global yang penuh cabaran.

Jemputan Trump kepada Perdana Menteri menunjukkan bukan saja hubungan baik Malaysia dengan AS tetapi juga terdapat suasana mesra antara dua pemimpin itu, yang selanjutnya diharapkan akan mendatangkan kebaikan bagi kedua-dua negara.

Tetapi di sebalik jemputan itu, pihak pembangkang dilihat kurang senang dengan lawatan Najib ke AS.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang bersungguh-sungguh mendesak Kabinet menolak jemputan Trump kepada Najib untuk melawat Rumah Putih.

Kenapa Kit Siang tidak mahu Najib memenuhi jemputan Trump itu?

Memenuhi jemputan tersebut adalah satu pera­nan besar bagi Malaysia sebagai tanda menjalinkan hubungan diplomatik, malahan ia merupakan lawatan rasmi dan sekali gus berupaya meningkatkan hubungan dua hala yang lebih komprehensif serta progresif.

Sememangnya desakan pembangkang itu tidak masuk akal kerana Perdana Menteri tidak ada kaitan atau terlibat langsung dalam tindakan saman sivil oleh Jabatan Kehakiman AS (DoJ).

Adakah pembangkang bersungguh-sungguh mahu menggagalkan misi lawatan ini kerana sudah mempunyai niat untuk memburukkan nama Perdana Menteri dan Malaysia?

Adakah tembelang pembangkang pasti pecah apabila rakyat mempersoalkan mengapa Najib tidak ditahan oleh DoJ di AS malah diundang pula ke White House?

Sering kali kita mendengar tohmahan pembangkang bahawa Najib sudah pasti tidak akan berani lagi menjejakkan kakinya di AS dan kononnya beliau akan ditangkap sekiranya berbuat demikian.

Dakwaan tersebut pernah dibuat oleh bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri pada 2015.

Terdapat juga dakwaan tidak berasas kerajaan AS sendiri yang tidak mahu bertemu Najib selagi siasatan DoJ ke atas isu berkaitan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak selesai.

Benarkan dakwaan tersebut?

Jika benar Najib memang bermasalah dan menjadi orang yang begitu dikehendaki di AS, adakah Trump sanggup mengadakan pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri?

Sudah tentu Trump juga sudah cukup bijak untuk memelihara imej dan kredibilitinya sebagai Presiden AS.

Jemputan Trump itu sebenarnya boleh dilihat sebagai satu penghormatan pentadbiran Trump ke atas Najib.

Manakan tidak, peranan Malaysia dalam membentuk keamanan di Rantau Asia Tenggara mahupun peranan aktif Malaysia di peringkat antarabangsa, cukup diakui oleh seluruh dunia.

Selain itu, jemputan Trump juga merupakan pengiktirafan ke atas Najib sebagai seorang pemimpin yang disegani dan sangat dialu-alukan oleh pentadbiran tertinggi AS ketika nama baik Perdana Menteri itu terus cuba diburuk-burukkan.

Ia juga dilihat menafikan terus kesemua tuduhan kontroversi tidak berasas yang disasarkan ke atas Najib oleh pembangkang.

Adakah jemputan itu membuktikan AS mengiktiraf Malaysia dan Najib?

Jelas, jemputan itu memperlihatkan penghormatan pentadbiran Trump ke atas Najib dan pengiktirafan kuasa besar dunia itu terhadap Malaysia.

Sejak negara ini mencapai kemerdekaan sebagai Malaya pada tahun 1957, hubungan Kuala Lumpur-Washington berada pada kedudukan penting dalam konteks geopolitik global.

Walaupun Malaya dan kemudiannya Malaysia adalah jauh lebih kecil dari AS, baik dari segi keluasan wilayah, atau bilangan penduduk mahupun kekuatan ekonomi dan tentera tetapi negara ini mempunyai kedudukan selain peranan geopolitik global yang penting sehingga menuntut perhatian mana-mana kuasa besar.

Pertemuan dua ketua kerajaan Malaysia dan AS itu adalah yang pertama sejak Washington memiliki presiden baharu pada Januari lalu.

Apaka lawatan itu akan memberikan impak kepada lanskap politik Malaysia?

Dalam konteks negara ini, Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO merupakan parti pemerintah.

Sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO, sudah tentu pertemuan Najib dengan Trump akan memberikan impak besar terhadap parti pemerintah itu.

Pertemuan Trump-Najib ini bakal menjadi antara ‘feel good factor’ yang diperlukan ketika negara sedang menghampiri tarikh pilihan raya umum (PRU) yang akan diumumkan pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

Adakah pada tanggal 12 September ini, hubungan Malaysia-AS akan dipertingkatkan dalam aspek perdagangan, keamanan dan politik?

Hanya pada zaman Najib sahajalah, hubungan erat ini dapat dipertingkatkan dan seterusnya memangkin kepada perkembangan yang jauh lebih baik samada dalam bidang ekonomi, politik mahupun hubungan sosio politik antara kedua-dua buah negara.

Pembangkang pula akan terus melopong melihat kejayaan Najib dan mula berfikir strategi murahan baharu untuk memburuk-burukkan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here