BUKAN setakat 27 kerusi sahaja, PAN sebenarnya layak bertanding di lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Pasti itu yang diinginkan oleh ahli PAN apabila bukan sahaja mempertikai malah kecewa parti serpihan PAS itu hanya diberikan 27 kerusi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Di Johor misalnya, PAN negeri itu menggesa kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) supaya menyemak semula pengagihan kerusi yang menyaksikan parti serpihan PAS itu hanya ditawarkan dua kerusi daripada keseluruhan 26 kerusi Parlimen.

PAN Johor telah mendesak agar diberikan sekurang-kurangnya 5 kerusi untuk ditandingi. Bagaimanapun, permintaan PAN tidak dilayan sebaliknya, DAP dan PKR memberi kelebihan kepada PPBM yang mahu menjadikan Johor sebagai salah satu negeri sasaran mereka selain Kedah.

Di Perlis, PAN negeri berharap pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini dalam PRU-14 ditentukan secara adil selepas parti itu tidak mendapat tempat bagi kawasan Parlimen.

Pengerusi PAN Perlis, Wan Kharizal Wan Khazim berkata, pihaknya tidak berkecil hati dan menerima dengan hati terbuka keputusan kepemimpinan iaitu bagi tiga kerusi Parlimen Kangar, Padang Besar dan Arau yang bakal diwakili oleh calon daripada PKR dan PPBM.

Daripada keseluruhan tiga kerusi Parlimen Perlis, PPBM dijangka meletakkan calonnya di kawasan Arau dan Padang Besar manakala Kangar bakal diwakili oleh calon daripada PKR.

Meskipun penubuhan PPBM dilihat masih baharu daripada PAN namun parti yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad itu diberikan banyak kelebihan meletakkan paling ramai calon bagi kawasan Parlimen.

Di Pahang, PAN Pahang kecewa apabila hanya memperoleh satu kerusi di negeri itu iaitu di Parlimen Temerloh pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Pengerusi PAN negeri, Syed Hamid Syed Mohamed berkata, walaupun gembira diberikan kerusi Parlimen Temerloh namun permintaan PAN Pahang untuk tiga kerusi lain iaitu Jerantut, Lipis dan Paya Besar dinafikan.

Kata Syed Hamid, daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung hanya 27 kerusi diberikan kepada PAN, lebih malang tidak ada satu kerusi pun untuk Wilayah Persekutuan dan juga Perlis.

Di Kelantan, Pemuda PAN Kelantan turut melahirkan rasa kecewa kerana parti itu hanya diberikan 27 kerusi Parlimen di Semenanjung pada PRU-14.

Ketuanya, Hazmi Hassan, berkata pengagihan kerusi itu tidak boleh dianggap sebagai satu berita yang memuaskan hati penyokong pakatan pembangkang khususnya PAN.

Jika melihat kepada perasaan kecewa ahli PAN itu, sudah tentu mereka merasakan parti itu layak mendapat lebih banyak kerusi pada PRU-14.

Bukan itu saja, mereka pasti merasakan PAN mampu menang di kerusi yang ditandingi.

Jadi, adakah DAP cuba menafikan kelayakkan dimiliki PAN?

Adakah DAP lebih mempercayai PPBM berbanding PAN?

PAN diasaskan oleh bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Parti ini didaftarkan sebagai Parti Pekerja-Pekerja Malaysia dan kemudiannya dijenamakan semula sebagai Parti Amanah Negara lantas dilancarkan pada 16 September 2015.

PAN juga dilaporkan yakin dapat mengambil alih Kelantan daripada PAS pada PRU-14.

Keyakinan itu dinyatakan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berdasarkan sokongan yang diterima parti berkenaan di negeri Kelantan.

Berdasarkan keputusan Pakatan Harapan diketuai DAP itu, PAN disifatkan malang kerana menerima jumlah kerusi yang paling sedikit dalam Pakatan Harapan untuk bertanding dalam PRU-14.

Keputusan itu sudah semestinya membangkitkan kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan parti itu yang sebelum ini pernah memperlekehkan PAS dengan mengatakan bahawa mereka akan bertanding di mana-mana sahaja.

Apakah maksud daripada keputusan diputuskan Pakatan Harapan itu?

PAN diibaratkan ‘bagai melukut di tepi gantang’ iaitu sebuah parti yang tidak dianggap penting dalam Pakatan Harapan diketuai DAP.

Situasi tersebut terbukti apabila PAN hanya menerima 27 kerusi Parlimen dalam Pakatan Harapan.

Jadi, PAN perlu sedar diri siapa sebenarnya mereka yang langsung tidak dipandang di dalam Pakatan Harapan.

Dahulu PAN bersungguh-sungguh membantu DAP sehingga memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Masa hendak bahagi kerusi, PAN langsung tidak dipandang.

Itulah sebenarnya nilai PAN. Seperti habis madu sepah dibuang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here