Di ruang media sosial khasnya dalam bahasa Cina sedang giat tumbuh beberapa halaman dicipta oleh aktivis tidak bernama yang menggerakkan kempen untuk rakyat Malaysia merosakkan undi semasa pilihan raya umum akan datang. Kebanyakan halaman ini menggerakkan kempen tidak sihat ini untuk memastikan rakyat Malaysia menyatakan rasa protes mereka terhadap parti-parti politik yang ada.

Mengikut kenyataan kempen ini ahli-ahli politik dalam kalangan semua parti yang ada sukar untuk dipercayai dan kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai rasa tanggungjawab tinggi. Sasaran kempen ini jelas kepada pengundi Cina dan kawasan di bandar. Matlamat kumpulan ini tidak dapat dipastikan dengan wajar kerana mereka bergerak dalam sembunyi dan merahsiakan identitinya.

Namun secara umumnya kempen merosakkan undi ini bakal memberi kesan negatif kepada budaya dan pola pengundian di negara ini. Kempen ini hanya akan menjejaskan kualiti demokrasi di negara Malaysia. Merosakkan undi bukan satu bentuk tindakan protes yang sebenar, malah akan menyebabkan kedudukan politik dan pentadbiran negara tidak dapat dibentuk dengan stabil. Sistem pilihan raya di Malaysia telah diuruskan mengikut lunas-lunas perlembagaan dan undang-undang secara teliti, malah kecenderungan untuk berlaku sebarang kepincangan juga amat rendah.

Kempen merosakkan undi bukanlah jalan terbaik untuk melakukan protes terhadap mana-mana parti politik. Kadangkala sikap tidak berpuas hati dengan parti politik ini bukan sikap semua orang, tetapi hanya sebilangan kecil, tetapi tindakan sebilangan kecil ini yang cuba memberikan pengaruh buruk kepada rakyat Malaysia yang lain harus dipandang serius. Kempen seperti ini harus dilawan dengan kempen menggalakkan rakyat untuk keluar mengundi dan memilih Kerajaan yang mampu memberikan kestabilan kepada semua.

Dalam soal ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memainkan peranan aktif dan menggiatkan kempen untuk mengundi bagi mengelakkan rakyat terpedaya dengan dakyah pemesongan demokrasi yang cuba diterapkan oleh golongan yang mempromosikan kempen merosakkan undi ini.

Melihat politik dari kacamata pertentangan parti semata-mata adalah tidak wajar kerana politik melangkaui soal pertelingkahan antara parti. Perbahasan dan perdebatan dalam politik ialah untuk mendatangkan hasil yang bermanfaat kepada rakyat. Malah budaya politik di Malaysia semakin hari dapat dinilai semakin terbuka dengan sikap Kerajaan kini yang mengamalkan prinsip kebebasan maklumat.

Pilihan raya ialah untuk memilih satu yang paling baik dan pilihan raya bukan untuk melihat siapa yang paling buruk. Jika semua undi dirosakkan, maka pentadbiran yang dipilih itu tidak akan dapat bekerja secara baik dan stabil. Ini bakal merencatkan perkembangan dan perancangan pembangunan sesebuah negara. Undi bukan barang permainan yang boleh digunakan sesuka hati. Undi ialah kuasa dan hak untuk menentukan siapa yang naik dan siapa pula yang turun. Kempen merosakkan undi harus dihentikan segera, kerana ini hanya akan merosakkan masa depan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here