Naib Presiden MyPPP,  Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff mengajak calon serta pemimpin bertanding berpolitik secara matang, menjelang PRU14.

Nik Sapeia berkata, menjelang PRU pelbagai kemungkinan boleh berlaku sekiranya pemimpin,calon serta penyokong  parti bertanding  tidak beretika ketika berkempen.

“Elakkan diri daripada menfitnah parti lawan,kerana kesannya terlalu serius, ia boleh mengundang dendam dan pergaduhan.

“Ketengahkan perkara yang baik-baik sahaja ketika berkempen, selepas itu serahkan kepada rakyat untuk menilainya,” katanya yang masih tetap dengan pendirian bertanding di kerusi Dun Manek Urai pada PRU14.

Nik Sapeia berkata, pemimpin serta calon bertanding juga disarankan supaya mengetengahkan manifesto parti masing-masing untuk menghadapi  PRU14  sekiranya dirasakan dapat menunaikannya.

“Elakkan daripada menjadi orang munafik kerana golongan ini akan membuat janji,tetapi tidak menunaikannya,mereka juga mengkhianati amanah diberi serta bercakap bohong.

“Jelaskan kepada rakyat perancangan masing-masing sekiranya menang PRU14, supaya rakyat mendapat penjelasan yang sewajarnya seterusnya membolehkan mereka menilai pemimpin mana yang dirasakan layak untuk dipilih,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, selepas melaksanakan kempen masing-masing, calon serta pemimpin disarankan menyerahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan.

“Jika kita telah berkempen dan melaksanakan tugas sebaik mungkin, jangan bimbang, peluang untuk menang pasti ada.

“Selain daripada itu,berserah kepada Allah setelah berusaha kerana dia mengetahui pemimpin layak untuk menang,” katanya.

Katanya lagi, pilihanraya bukan medan perpecahan malah ia medium penyatuan antara rakyat dan pemimpin .

“Jadi saya mengajak semua pemimpin dan calon bertanding agar tidak memburuk-burukkan mana-mana pihak,” katanya .

Pada PRU13, beliau bertanding di Dun Guchil tetapi tewas 400 undi kepada calon PKR.

Baru-baru ini beliau memaklumkan kemungkinan untuk bertanding pada kerusi Dun Manek Urai dan Parlimen Kuala Krai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here