Empat sekeluarga yang terpaksa bermalam di koridor Pangsapuri Rifle Range selepas diusir tuan rumah kini boleh menarik nafas lega apabila seorang lelaki tampil menawarkan unit miliknya kepada keluarga itu.

Tawaran itu dibuat selepas kisah sedih Looi Say Chye, 52, dan keluarga mendapat perhatian media, selepas disur tuan rumah kerana gagal membayar sewa rumah 3 bulan sebanyak RM900.

Seorang ahli perniagaan, yang hanya mahu dikenali sebagai Khor, 52, terbaca tentang kesusahan keluarga Looi dan menawarkan mereka tinggal di unit pangsapuri miliknya di blok D.

Lelaki yang tidak mahukan publisiti itu menghubungi Pusat Khidmat Adun Kebun Bunga Cheah Kah Peng dan menghantar kawannya, Albert, untuk menyerahkan kunci kepada Looi tengah hari tadi.

Albert berkata Looi tidak perlu membayar sewa dalam tempoh setahun dua sehinggalah mendapat pekerjaan.

“Khor berharap lelaki itu (Looi) akan dapat pekerjaan untuk membesarkan anak-anaknya.

“Khor sedia terima seberapa jumlah wang pun sebagai bayaran sewa selepas setahun dua. Looi boleh membayar mengikut kemampuan,” kata Albert.

Isteri Looi, Umyati, 43, dan anak mereka, Ah Boy, 6, dan Cindy, 8, teruja mendengar berita itu dan mengikuti rombongan Cheah ke rumah baharu mereka.

“Saya gembira akhirnya dapat tempat tinggal. Saya bimbang kesihatan anak-anak saya kerana tidur di koridor tidak berapa elok,” kata Umyati kepada pemberita.

Pangsapuri baharu ini saiznya sama dengan tempat tinggal lama dan mempunyai kelengkapan minimum. Ia perlu dibersihkan kerana sudah tidak didiami hampir setahun.

Pemandangan Bukit Bendera dapat dilihat dari pangsapuri yang terletak di tingkat 17 itu dan ianya lebih bersih berbanding tempat tinggal lama mereka.

Bekalan elektrik masih tiada di unit itu tetapi selepas dihubungi FMT, Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad Pulau Pinang Datuk Lim Yew Soon berkata beliau akan mempercepat sambungan elektrik ke unit itu.

Awal hari ini, ramai rakyat Pulau Pinang melawat Looi di tempat tinggal sementaranya di koridor Tingkat 5, Blok F.

Penghulu Daerah Barat Daya (Pembangunan), Nur Afnan Zakaria, dan pasukan Jabatan Kebajikan negeri dilihat menemubual Looi dan isteri.

Orang ramai termasuk daripada Parti Rakyat Malaysia Bersatu (MUP), Gerakan dan lain-lain berkumpul di koridor, membawa makanan dan memberi kata semangat kepada Looi dan isteri.

Ahli Gerakan, Ooi Zhi Yi, memberitahu Looi, ada seorang lelaki yang sanggup membayar jumlah sewa untuk setahun bagi unit yang keluarga itu diusir.

Bagaimanapun, Looi berkata ianya tidak dapat ditunaikan kerana tuan rumah itu sudah pun mempunyai penyewa baharu.

Sementara itu, Ahli MUP Wu Kai Min menawarkan Looi dan keluarga tinggal di Jalan Perak kerana seorang lelaki yang baik hati mahu menawarkan rumah kosong. Wu juga membawa lori untuk memindahkan barang kepunyaan keluarga itu. Looi berkata beliau akan pertimbangkan tawaran itu.

Penghuni unit berdekatan yang sebelum ini tidak menyedari kesusahan mereka juga melawat keluarga itu dan memberi sedikit wang.

Cheah menyampaikan sumbangan RM300 kepada Looi daripada Jabatan Kebajikan negeri.

Cheah juga berkata isteri Looi dan anak-anaknya bermalam di pejabatnya di bangunan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Looi pula bermalam di koridor untuk mengawasi barangan mereka.

“Kebimbangan utama kami adalah anak-anak Looi. Kami sedang mengkaji bagaimana kami boleh terus membantu keluarganya. Kita perlu kaji mengapa mereka melalui masalah ini,” kata Cheah.

“Mengenai sumbangan kepada Looi pula, kami mahu tegaskan bahawa kita perlu kaji keadaan terlebih dahulu dan tentukan jumlah yang mereka perlukan.

“Buat masa ini, langkah paling wajar adalah menyalurkan semua sumbangan kepada JKKK Rifle Range untuk ketelusan,” kata Cheah.

Mereka yang mahu menderma kepada keluarga Looi boleh berbuat sedemikian dengan menyalurkan sumbangan kepada “JKKK Padang Tembak” di nombor akaun Maybank 5071 2514 8133 dan menghantar maklumat kepada emel [email protected]

Untuk maklumat lanjut, hubungi Pengerusi JKKK Rifle Range, Long Eng Kim, di 012-488-6970.-FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here