pakatan harapan

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya berkata pucuk pimpinan dipilih oleh kepimpinan atasan dan menjadi tugas mereka yang terpilih untuk melaksanakan tugasnya.

Keputusan sama ada mahu terus kekal atau keluar di dalam parti merupakan hak individu.

“Kita kena lihat semua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi ini dilantik oleh Presiden, jadi apabila sudah dilantik kenalah jalankan tugas, bantu parti.

“Kita kena ikut pucuk pimpinan, takkan nak lawan?” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Sebelum ini, Datuk Hamidah Osman memberitahu beliau meletak jawatan dan keluar parti kerana kelemahan pimpinan Bersatu yang tidak mahu menerima teguran dan serangan Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sementara itu, Abu Bakar menambah bahawa kepentingan parti kini adalah untuk menambah penyokong sedia ada mereka dalam menghadapi PRU14.

“Kita di pihak pembangkang ini melakukan perkara yang disukai rakyat, malah saya percaya rakyat sendiri dapat melihat kebenaran pada parti pembangkang sekarang.

“Lagipun, rakyat kini dalam keadaan tertekan dan sedang mencari pengganti buat yang sedia ada, maka inilah masa terbaik untuk menaikkan ‘harapan’ rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberikan komen mengenai keputusan keluar parti oleh beberapa individu.

“Kita juga kena lihat tujuan seseorang menyertai parti sebab ada orang pentingkan parti tapi ada juga mempunyai kepentingan peribadi.

“Tapi pendapat saya, semua orang perlu terima apa yang harus dibuat. tiada istilah orang bawah nak ajar orang atas.

“Kalau benar nak berjuang, kena percaya pada pimpinan tertinggi, lagipun saya percaya segala keputusan dibentangkan dalam mesyuarat dan dikongsi bersama MPT lain,” katanya.- NURUL KHALEEDA RASHIKIN (SINAR)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here