Kelantan sekali lagi akan dianaktirikan jika Tun Dr Mahathir Mohamad dipilih menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sama seperti dilakukan ketika 22 tahun pemerintahannya sebelum ini.

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata banyak hak yang sepatutnya diperoleh Kelantan dinafikan bekas Perdana Menteri itu, menyebabkan negeri ini mundur.

“Kita dinafikan hak royalti, pelabuhan di Tok Bali, lapangan terbang antarabangsa dan Lebuhraya Pantai Timur pada zaman Dr Mahathir.

“Malah, rakyat masih ingat mengenai surat amaran yang dihantar Dr Mahathir kepada Menteri Besar (Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) pada 1993 bahawa Kerajaan Persekutuan akan mengambil tindakan jika Kelantan teruskan hasrat melaksanakan hudud.

“Ini menunjukkan Dr Mahathir terus anaktirikan Kelantan, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali pun,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai keputusan Kerajaan PKR Selangor yang mahu membekukan peruntukan tahunan di kawasan wakil rakyat PAS, Che Abdullah berkata, tindakan itu disifatkan tidak wajar kerana PAS tidak menyerang dan mengkritik negeri itu yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Malah, katanya, wakil rakyat PAS di Selangor masih mendokong kerajaan PKR hasil kerjasama dalam pakatan sebelum ini.

“Kita tidak boleh samakan apa yang berlaku di Selangor dan Kelantan. Ini kerana, wakil rakyat kita di Selangor tidak menyerang kerajaan negeri, namun sebaliknya PKR dengan Parti Amanah Negara (PAN) di pentas sama di sini untuk menjatuhkan Kerajaan PAS.

“Justeru, kita ambil tindakan sendiri dengan tidak melantik semula sebahagian mereka (wakil rakyat PKR) yang bersama PAN dalam lantikan politik di negeri ini,” katanya.-BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here