Politik Antarabangsa

Isu 1MDB dilihat menjadi duri dalam daging kepada pentadiran YAB Perdana Menteri. Pelbagai spekulasi dan pandangan khasnya dari pembangkang jelas melihatkan isu ini memberikan beban kewangan kepada negara di samping meninggalkan kesan negatif serius terhadap perkembangan ekonomi negara.

Walaupun beberapa siri penjelasan telah digerakkan, namun pandangan pihak pembangkang terhadap isu ini masih tidak berubah, malah isu ini sebenarnya menjadi titik terpenting untuk pembangkang mengembangkannya menjadi plot terbaik bagi menyusun kempen yang mampu menyentuh hal-hal lain. Melalui isu 1MDB ini sebenarnya pembangkang berjaya mengaitkannya kepada isu-isu lain seperti kenaikan kos hidup, korupsi, beban hutang negara dan yang terbaru Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Cabaran yang dilalui pentadbiran YAB Perdana Menteri pada masa kini berbeza dengan pentadbiran-pentadbiran terdahulu dan ini datangnya dalam pelbagai bentuk termasuk kecanggihan teknologi media, kesedaran demokrasi rakyat dan cabaran global yang sebenarnya semakin kompleks dan rencam. Ini merupakan tiga perkara yang harus dihadapi oleh Kerajaan kini.

Jika semasa pentadbiran Tun Dr. Mahathir dahulu media sangat terhad dan fungsi hanya terbatas kepada akhbar dan televisyen sahaja. Malah kawalan terhadap media juga begitu ketat. Pada ketika itu juga rakyat memberikan mandat penuh kepada pentadbiran Tun M dan Kerajaan sentiasa menang besar. Ini terkait dengan soal kesedaran rakyat melihat fungsi pembangkang dan kemahuan demokratik semakin berubah.

Tun M mentadbir Malaysia di waktu globalisasi baru bergerak dan pergerakkannya masih perlahan, justeru cabaran ekonominya jelas berbeza dan keputusan-keputusan ekonomi masih boleh dibuat dengan mudah, namun berbeza pada hari ini di mana sistem ekonomi dunia semakin rumit untuk diteliti dan pengaturan keputusan oleh Kerajaan juga perlu dilaksanakan dengan bijak mengambil kira semua keperluan dan bukan faktor dalaman semata-mata.

YAB Perdana Menteri hari ini dilihat cuba mengimbangi kemelut di dalam negara melalui pengharmonian hubungan luar yang sebenarnya mampu mendatangkan impak positif dalam negara. Lebih menarik apabila Pentadbiran hari ini mempunyai hubungan akrab dengan Amerika Syarikat (AS) dan China dan amat jarang untuk mana-mana negara di dunia mempunyai hubungan seperti ini dengan kedua-dua kuasa utama dunia ini.

Malaysia melihat wujud keperluan untuk mengambil peluang daripada perkembangan pesat ekonomi China untuk menarik pelaburan dan berkongsi kepakaran dalam menggerakkan projek-projek pembangunan berimpak tinggi di Malaysia. Hubungan Malaysia dengan AS pada hari ini juga melihatkan negara memperoleh manfaat dari sudut politik dan keselamatan. Ini kerana AS sentiasa melihat Malaysia sebagai negara penampan (buffer state) di sebalik kemelut keselamatan dan keganasan yang berlaku di negara-negara rantau Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia dan Filipina. Sehubungan itu, peranan Malaysia dalam hal keselamatan dan politik sangat dihargai oleh AS.

Malaysia juga mengambil pendirian berkecuali dalam kalangan negara-negara Islam dan mempunyai hubungan akrab dengan semua negara khususnya di rantau Asia Barat. Malah hal berkaitan perbezaan mazhab juga tidak menjadi halangan untuk pengukuhan hubungan ini. Sikap seperti ini sebenarnya berjaya menunjukkan Malaysia sebagai negara yang berjiwa besar dan melalui sikap positif sebegini, pelbagai manfaat dapat diperoleh negara.

Ini merupakan kunci kejayaan Malaysia berjaya menjauhkan diri daripada sebarang konflik antarabangsa dan kekuatan dari sudut diplomasi ini harus dikekalkan dengan kebijaksanaan pentadbiran yang memahami agenda dan urusan politik antarabangsa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here