Kontinjen Sukan Komanwel Belia negara mempamerkan aksi cemerlang apabila mengatasi pencapaian empat tahun lalu dengan menghadiahkan lima pingat emas di kejohanan yang berlangsung di Apia Samoa.

Tidak diletakkan harapan tinggi selepas mengambil kira aspek pesaing dari negara seperti Australia, New Zealand dan negara Komanwel yang lain, Pemangku Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negra (MSN), Jefri Ngadirin berkata, kejutan yang dilakukan  atlet negara dianggap di luar dugaan terutama emas dihadiahkan perenang negara Wong Fu Kang dalam acara renang 100m kuak dada lelaki.

Jerfi berkata, pencapaian dilakarkan Fu Kang, 17, menyamai rekod kebangsaan dan ia memberi petanda cerah peningkatan atlet negara itu yang berjaya menewaskan perenang dari England dan Afrika Selatan. Fu Kang merekodkan 1 minit 03.36 saat.

“Lima emas yang dihadiahkan kontinjen negara sangat memberangsangkan. Mereka menunjukkan peningkatan ketara. Beraksi menentang lawan dari Australia, England dan negara Komanwel yang lain tidak mudah dan emas dihadiahkan itu cukup bernilai.

“Antaranya prestasi Fu Kang dan atlet angkat berat cukup mengagumkan apabila mereka mempamerkan aksi membanggakan,” katanya.

Kejohanan yang memasuki hari keempat semalam menyaksikan kontinjen negara menghadiahkan lima emas, dua perak dan dua gangsa.

Dua emas disumbangkan skuasy menerusi Ng Eain Yow yang menewaskan Patrick James Rooney dari England dengan 11-8, 12-10, 11-5 di perlawanan akhir perseorangan lelaki untuk raih pingat emas pertama Malaysia.

Rentak kejayaan Eain Yow itu kemudiannya diikuti S Sivasangari dalam acara perseorangan wanita dengan mengalahkan Eleanor Epke dari New Zealand, 11-3, 11-5, 12-10.

Dalam acara angkat berat, pingat emas Malaysia diperolehi menerusi Nur Atikah Mahamad Sobri dalam acara 58kg wanita dengan jumlah angkatan keseluruhan 160kg iaitu 70kg bagi kategori snatch dan 90kg untuk clean and jerk dan Muhammad Erry Hidayat dalam acara 69kg dengan jumlah angkatan 255kg.

Emas kelima hadir menerusi Fu Kang.

Pada edisi lalu, kontinjen negara menyumbangkan empat emas, dua perak dan satu gangsa.

Sumber: HarianMetro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here