PERHIMPUNAN Agung UMNO 2017 (PAU 2017) yang berakhir pada 9 Disember lalu memberi mesej jelas bahawa UMNO dalam kedudukan terbaik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Daripada segi keteguhan, solidariti dan kehadiran lebih ramai ahli serta orang Melayu, perhimpunan kali ini dilihat kejayaan besar buat UMNO.

Memandangkan PAU 2017 merupakan perhimpunan terakhir sebelum PRU-14 diadakan, adakah UMNO nampak mempunyai banyak kelebihan?

Jika dilihat kepada perasmian perhimpunan tiga sayap Pemuda, Wanita dan Puteri hinggalah ke sesi penggulungan oleh Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak, PAU 2017 merupakan pakej perhimpunan terbaik untuk mengekalkan momentum mentaliti menang dalam kalangan ahli dan seluruh kepimpinan UMNO.

Apa yang membezakan PAU 2017 dengan perhimpunan parti politik lain terutama Pakatan Harapan?

Persekitaran yang sangat positif pada PAU 2017 itu jauh berbeza jika dibandingkan dengan parti-parti di bawah Pakatan Harapan.

Persidangan tahunan DAP sedia maklum sangat hambar dengan ramai yang tidak hadir.

Pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP menyaksikan hampir 50 peratus perwakilan mereka tidak hadir.

Lebih teruk situasi dihadapi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang gagal mengadakan Mesyuarat Agung tahunan selain ramai ahlinya dan pemimpinnya keluar parti.

Persidangan PKR dan PAN juga hambar dan banyak kerusi kosong tidak seperti digambarkan ataupun diuar-uarkan mereka.

Jadi, adakah boleh dikatakan bahawa PAU 2017 memperkukuhkan jenama UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti masa depan biarpun pada usia menjangkau lebih 70 tahun?

Jika dilihat, kejayaan perhimpunan itu petanda awal kepada misi BN untuk menang besar pada PRU-14.

Lebih-lebih lagi kerajaan BN yang diterajui oleh UMNO telah melepasi banyak cabaran beberapa tahun kebelakangan ini.

Kebolehan menangani krisis dan bangkit di sebalik apa sahaja dugaan adalah kelebihan UMNO di bawah pimpinan Najib.

Semua itu bukan datang bergolek, ia adalah atas faktor kepimpinan Najib yang tabah dan lasak dengan dibantu Timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan pasukan pentadbirannya.

Namun sebagai parti terbesar dan lama memerintah Kerajaan Pusat, cabaran UMNO juga tentu lebih besar.

Ukuran kekuatan bukan semata-mata pada kejayaan PAU 2017 walaupun faktor itu diakui turut menyumbang.

Realitinya nanti adalah di cawangan dan bahagian terutama ketika menghadapi perhitungan sebenar selepas pengumuman calon.

Sejauh mana ahli dan pemimpin UMNO bersatu pada waktu kemuncak itu akan banyak menentukan kejayaan parti pada PRU-14.

Juga sejauh mana perwakilan berpegang kepada sumpah dibacakan Ahmad Zahid pada PAU 2017 termasuk tidak merajuk dan memboikot keputusan parti dalam pemilihan calon PRU-14.

Satu lagi, sejauh mana UMNO menterjemah sokongan jitu masyarakat Melayu dan bumiputera selama ini?

Tanpa sokongan majoriti Melayu siapalah UMNO sehingga menempa kejayaannya sehingga kini?

Lihatlah bagaimana UMNO terselamat daripada hilang kuasa di sebalik gerakan besar-besaran mahu menjatuhkan kerajaan pada PRU-13 iaitu dengan penentuan orang Melayu.

Ambillah iktibar meskipun UMNO juga perlu bijak mengimbangi pendekatan menarik sokongan semua kaum.

Maka apabila pemimpin dan perwakilan pulang ke kawasan masing-masing dan kembali bertugas, mohon jangan dilupa hakikat itu.

Biarlah PAU 2017 berlalu dengan kejayaannya yang besar, harus diingat misi utama selepas perhimpunan itu adalah PRU-14.

Jika UMNO terus leka, tidak mustahil situasi seperti yang berlaku pada PRU-13 akan berulang kembali.

Sudah tentu ahli dan kepimpinan UMNO tidak mahu episod PRU-13 kembali menghantui mereka.

Jika ia berlaku, tiada gunanya UMNO mencatat kejayaan dalam PAU 2017 tetapi kecewa pada PRU-14.

Apa yang diharapkan UMNO pada PRU-14 adalah kemenangan besar.

Walaupun menang, tetapi gagal mendapatkan majoriti dua pertiga, itu bukan kejayaan buat UMNO.

UMNO tidak boleh gah dan mendabik dada jika menang dengan majoriti mudah dan tidak mendapatkan dua pertiga kekuasaan pada PRU kali ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here