Kejayaan Felda bagi mendapatkan semula tanah miliknya di Jalan Semarak dilihat dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat khususnya golongan peneroka kepada lembaga tersebut.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohammad Fuad Othman berkata, perkembangan ini juga menunjukkan bahawa Felda masih relevan dalam memperjuangkan hak-hak ahlinya bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Saya yakin ini adalah langkah awal yang penting telah diambil oleh Felda di bawah pengerusinya, Tan Sri Shahrir Samad bagi mengembalikan keyakinan buat rakyat dan peneroka di negara ini,”katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Kelmarin, syarikat pemaju, Synergy Promenade Sdn Bhd bersetuju menyerahkan semula tanah kontroversi Felda yang akan dibangunkan sebagai Kuala Lumpur Vertical City selepas kedua-dua pihak mencapai kata putus berhubung perkara ini.

Difahamkan, penyerahan semula tanah tersebut dilakukan tanpa melibatkan sebarang kos.

Terdahulu, tanah milik Felda yang bernilai RM270 juta itu mula menjadi kontroversi apabila Shahrir mendedahkan penukaran milik tanah berkenaan tanpa mendatangkan sebarang pembayaran kepada lembaga tersebut.

Sehubungan itu, Mohammad Fuad memaklumkan bahawa perkara melibatkan penukaran hak milik tanah sepatutnya melalui proses yang telah ditetapkan bagi menggelakkan kejadian sebegini berlaku.

“Tahniah kepada Tan Sri Shahrir atas usaha beliau dan kita harapkan perkara macam ini tak berlaku lagi pada masa hadapan bagi memastikan Felda dapat sentiasa menjadi badan yang berwibawa,” katanya.-Sinar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here