KUANTAN, 6 Sept – Kejatuhan nilai Ringgit Malaysia (RM) akan membuka ruang kepada pemegang francais luar negara untuk menanam modal di negeri ini sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi untuk penduduk tempatan.

Pengarah Urusan Perbadanan Nasional Berhad (PNS, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainal Khodki Shahabudin berkata, tidak semua perniagaan di negara ini terjejas dengan kejatuhan nilai mata wang negara.

“Tidak semua perniagaan francais bergantung kepada produk dalaman, tetapi ada juga barangan dari luar negara. Kejatuhan nilai RM juga menyebabkan kos kemasukan pemegang francais ke negara ini lebih murah.

“Kalau dahulu ramai orang tunggu masa sesuai untuk masuk dan membuka francais di Malaysia dan dengan kejatuhan ini ia merupakan satu peluang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Program Francais Komuniti Zon Timur di East Coast Mall, Kuantan.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri Pahang, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin. Beliau mewakili Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah.

Timbalan Ketua Setiausaha (Francais dan Kepenggunaan) KPDNKK, Datuk Basaruddin Sadali dan Pengarah KPDNKK negeri Sharuddin Jali, turut hadir.

Sementara itu Shahiruddin berkata, kerajaan akan bergerak lebih agresif untuk menggalak pertumbuhan perniagaan francais di negeri ini, terutama melibatkan golongan muda.

“Kita akan galakkan seramai mungkin, khususnya generasi muda kerana bidang francais ini mempunyai banyak peluang perniagaan dengan risiko yang lebih rendah berbanding perniagaan lain,” katanya.

Menurutnya, sehingga 30 Ogos lalu, 792 sistem francais daripada pelbagai sektor telah didaftarkan dengan Pejabat Pendaftar Francais KPDNKK.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here