Asean perlu bertindak segera menggesa Kerajaan Myanmar menghentikan penindasan ke atas masyarakat Rohingya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Asean seharusnya berada di barisan hadapan dalam menyelesaikan konflik ini, apatah lagi kerana bencana kemanusiaan ini berlaku di depan mata.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya keganasan terkini tentera Myanmar ke atas etnik Rohingya di Wilayah Rakhine.

“Pada ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidiladha, nyawa etnik Rohingya pula yang menjadi korban akibat kesinambungan penindasan pemerintah yang tidak putus-putus terhadap golongan yang di pinggir ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menegaskan semula desakan terhadap Kerajaan Malaysia sepertimana di dalam kenyataannya tahun lalu.

“Kerajaan Malaysia perlu segera membawa usul tergempar untuk membahaskan isu penghapusan etnik Rohingya di Myanmar ke peringkat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Isu penghapusan etnik Rohingya ini juga perlu dibawa ke peringkat Asean dan mengiktiraf pelarian Rohingya sebagai pelarian perang,” jelasnya.

“Komitmen Turki ini harus disambut oleh Malaysia dan masyarakat antarabangsa. Bagi memastikan keadaan tidak bertambah parah, saya menyeru supaya PBB bersedia menghantar Pasukan Pengaman ke Wilayah Rakhine.

“Perhimpunan Agung PBB yang bakal diadakan pada 19-28 September ini adalah medan terbaik buat masyarakat antarabangsa membincangkan dan merangka tindakan menyelesaikan konflik ini. Kita tidak boleh berdiam diri lagi,” ujarnya.

Beliau menambah, sekarang bukan lagi masanya sekadar menyeru semua pihak ‘bertenang’ dan ‘bersabar’.

“Sudah tiba masanya dunia mengambil tindakan yang tuntas dalam menyelesaikan konflik ini,” katanya.

Dalam pada itu, semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menerusi laman Twitternya turut mengulangi gesaan terhadap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres agar Myanmar dapat mencari pendekatan holistik dalam menangani krisis di Rakhine.

“Kami menggesa agar situasi tenang dan terkawal. Situasi malang yang dihadapi oleh saudara-saudara Rohingya perlu diringankan untuk kebaikan Myanmar dan kawasan serantau,” tulisnya.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here