Keperluan Malaysia buka kedutaan besar di Palestin dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin yang juga menteri tugas-tugas khas berkata pandangan jemaah menteri serta pihak lain terutamanya dari aspek ekonomi dan keselamatan, perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau berkata mesyuarat Kabinet hari ini, yang merupakan mesyuarat terakhir bagi tahun ini, belum membincangkan perkara itu.

“Tunggu PM (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) balik dahulu (dari lawatan rasmi ke beberapa negara). Ini akan jadi agenda 2018,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan Turki membuka kedutaannya di Baitulmaqdis bagi mengiktiraf kota suci itu sebagai ibu negara Palestin.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata semua pihak termasuk parti pembangkang perlu menyertai Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Masjid Putra, Putrajaya pada Jumaat ini memandangkan isu Palestin sepatutnya merentasi pertimbangan politik.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata 250 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk NGO bukan Islam serta parti politik akan menyertai himpunan itu yang turut dihadiri Najib serta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Himpunan itu diadakan bagi membantah keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang menimbulkan kemarahan dan kutukan masyarakat Islam seluruh dunia.

Free Malaysia Today

Berita berkaitan:

Erdogan luah harapan buka kedutaan Turki ke Palestin di Baitulmaqdis

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here