PUJIAN harus kita hamburkan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) atas ketegasan mereka untuk tidak meluluskan sebarang permit bagi penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman yang dijadualkan berlangsung di sebuah pasaraya di Klang pada 12 dan 13 Oktober ini. Walaupun ianya adalah mengenai ‘makanan’ dan ‘minuman’, festival yang dinamakan ‘Centro German F&B Party’ itu turut diketahui menyediakan minuman keras ataupun arak.

Umat Islam yang prihatin setidak-tidaknya boleh menarik lafas lega pada saat ini setelah berkali-kali membantah dan meyuarakan kebimbangan mengenai penganjuran pesta itu. Dan ianya juga menunjukkan, sebagai komuniti terbesar negara, umat Islam sememangnya mampu bersatu hati tanpa mengira latar belakang politik untuk terus memperjuangkan kepentingan mereka di Malaysia.

Pemikiran Melayu Yang Teracun

Sedar atau tidak, sensitiviti dan kepentingan orang Islam di negara ini sudah berani dipersoalkan sesetengah pihak dan malangnya apabila perkara ini seolah-olah ‘direstui’ oleh sebahagian orang Melayu Islam sendiri. Pahit untuk kita menelan hakikat bahawa di sana terdapat kelompok Melayu yang menuntut agar ‘kebebasan’ seumpama ini tidak disekat memandangkan ianya disifatkan sebagai hak individu dan kaum-kaum lain di negara ini.

Pendapat dan pemikiran seperti ini dangkal dan mengarut. Tidak ada sesiapa pun yang menghalang mana-mana orang bukan Islam untuk meminum arak. Nak minum, minumlah. Nak mandi arak sekalipun tiada masalah. Tiada siapa mahu kisah. Tetapi tidak perlu sampai untuk menganjurkan sebuah pesta. Ini negara majoriti Muslim yang agama rasminya adalah Islam. Melihat sebuah pesta arak dianjurkan dalam sebuah negara Muslim tentulah pelik dan jelik.

DAP: Semakin Hari Semakin Melampau

Dek kerana bantahan berterusan umat Islam dalam isu ini, sesetengah pihak terutamanya DAP begitu bengang dan berang. Malah DAP menuduh PAS sebagai dalang yang gemar mencampuri urusan orang bukan Islam. Mengapa PAS yang dituduh sedangkan yang membantah pesta tersebut adalah umat Islam yang datang daripada hampir keseluruhan parti Melayu yang ada? Jawapannya mudah, mereka perlu mencari satu pihak untuk dikambinghitamkan dan dalam masa yang sama mengelak untuk membangkitkan kemarahan umat Islam yang lain.

DAP nampaknya mempunyai tahap pemikiran yang sangat ‘luar biasa’ dalam hal ini. Berikutan pengharaman pesta arak di Kuala Lumpur dan Klang, mereka melahirkan pula kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya pengharaman Pesta Keamatan yang disambut oleh rakyat Sabah. Pesta Keamatan diketahui menggunakan arak daripada beras sebagai sebahagian daripada program mereka.

Inilah yang diakatakan sebagai ‘luar biasa’ sehingga hendak membezakan antara pesta perayaan suku kaum dengan sebuah pesta arak pun mereka tidak mampu. Ianya sebuah justifikasi yang serba tidak kena dan tidaklah sepatutnya dikaitkan dengan pesta arak yang telah diharamkan. Yang diharamkan itu jika dibiarkan tentu sahaja akan menjadi sebuah penyakit sosial yang kronik. Begitulah dangkalnya pemikiran yang dimiliki DAP, sebuah parti yang semakin berani menjentik sensitiviti kaum dan langsung tidak menghormati status Islam sebagai agama rasmi negara.

Trend Semasa Sebagai Bukti

Sehingga hari ini, kita masih lagi bercakap mengenai isu dobi ‘mesra Muslim’. Setelah isu tersebut timbul awal minggu lalu, bukan sedikit kita melihat kelompok tidak bertanggungjawab ini menyelar pemilik perniagaan tersebut sebagai rasis. Malah, mereka pergi lebih jauh dengan mendakwa negara ini sedang menuju ekstremisme dalam beragama. Bukankah dakwaan sebegini sudah melampau?

Akibat kegagalan mereka memahami rasional agama di sebalik perniagaan dobi tersebut, akhirnya pemilik perniagaan itu terpaksa menarik balik polisinya yang ‘mesra Muslim’ setelah menerima tekanan daripada pihak yang lebih berkuasa. Umat Islam yang lain pula hanya mampu bersimpati. Dalam hal ini, akhirnya orang Melayu Islam jugalah yang rugi. Di waktu sebahagian mereka ragu-ragu mengenai status kesucian dan kebersihan di kedai perkhidmatan dobi layan diri, pilihan mereka nampaknya terus dihadkan hanya kerana campur tangan orang bukan Islam.

Kita boleh bercakap dengan lebih panjang mengenai hal ini. Tetapi cukuplah jika kita undurkan sedikit masa untuk beberapa bulan, kita akan dapati bahawa kelompok bukan Islam ini sudah terlalu berani mencabar kedudukan Islam dan orang Islam di negara ini. Sewaktu pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355 mahu dicadangkan bagi pemerkasaan Mahkamah Syariah, mereka inilah yang secara lantang menentang perkara itu sedangkan mereka langsung tidak ada kena mengena dengan urusan tersebut. Dan kerana tentangan mereka juga, sebahagian parti Melayu Islam nampaknya terpaksa akur dan masih ‘terduduk’.

Lihat juga desakan kelompok ini terhadap kerajaan agar berterus-terang mengenai keberadaan tokoh pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik di negara ini. Mereka terus menuntut agar tokoh pendakwah itu dihantar pulang ke India sekiranya kerajaan masih memberikan perlindungan kepada beliau. Kalaupun benar kerajaan memberikan perlindungan kepada tokoh pendakwah tersebut, apa masalahnya? Tidakkah ini menjadi satu lagi manifestasi campur tangan mereka dalam urusan agama Islam di negara ini?

Justeru, umat Islam perlu sedar dan bangkit daripada lena mereka yang panjang. Mereka perlu melihat bagaimana kepentingan mereka semakin berani diusik oleh kelompok-kelompok ini. Dalam keprihatinan terhadap nasib saudara seagama di seluruh dunia, umat Islam usah terlalu selesa dengan nasib di bumi sendiri. Mereka perlu membuka mata mengenai usaha sesetengah kelompok bukan Islam yang kini sedang giat mengasak minda Muslim dengan agenda dan doktrin sekular mereka dalam cubaan melenyapkan Islam sebagai satu cara hidup orang Melayu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here