Permatang Pauh sebuah kawasan Parlimen yang terletak di dalam kawasan Seberang Perai di Pulau Pinang. Kawasan ini merupakan kawasan majoriti Melayu dan mula dimenangi pembangkang sejak tahun 1999. Ia sering dilihat sebagai kerusi selamat buat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim malah kerusi berkenaan kini dijadikan sebagai warisan keluarga zaman-berzaman apabila Anwar menyerahkannya untuk ditandingi oleh isteri beliau, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Namun begitu, spekulasi tentang kerusi Permatang Pauh terus rancak kedengaran dan terbaru, PKR dilaporkan akan terus mengekalkan pengaruh dan legasi keluarga apabila bercadang memindahkan anak perempuan Anwar, Nurul Izzah untuk bertanding di kawasan berkenaan. Ini kerana berdasarkan kepada analisis semasa, kedudukan Nurul di Parlimen Lembah Pantai tidak begitu selesa, malah beliau diramalkan kalah jika pilihan raya umum diadakan dalam tempoh terdekat.

Dalam keadaan ini sudah tentu PKR mahu mendapatkan kerusi yang selamat untuk Nurul dan dalam masa sama bagaimanakah kedudukan Wan Azizah? Adakah beliau akan terus mempertahankan Permatang Pauh atau memberi laluan kepada anaknya sendiri. Jika bukan Permatang Pauh, Wan Azizah dijangka akan diberikan kerusi paling selamat di negeri Selangor.

Ketika PKR sedang mencatur kedudukan untuk mencapai kemenangan lebih besar di Permatang Pauh, laluan untuk parti berkenaan nampaknya kian berliku apabila Parti Islam SeMalaysia (PAS) turut mengumumkan pencalonan mereka di kerusi berkenaan. PAS bukanlah parti asing di Permatang Pauh, malah PAS lebih dahulu bertapak di kawasan berkenaan sebelum Anwar melalui Barisan Nasional (BN) mendapatkan kerusi itu bermula pada tahun 1982.

PAS pernah memegang kerusi Permatang Pauh selama satu penggal pada dari tahun 1978 sehingga 1982 menerusi wakilnya Zabidi Ali. Justeru dengan kekuatan akar umbi dan jentera bawahan yang kuat, PAS dijangka mampu mendatangkan masalah besar kepada PKR untuk mengekalkan kerusi berkenaan. Ini kerana kemenangan besar PKR sebelum ini di kerusi berkenaan jelas mendapat bantuan jentera bawahan PAS secara besar-besaran.

Sebenarnya persaingan tiga penjuru di Permatang Pauh akan mendatangkan keuntungan sepihak dan pihak yang untung itu sudah tentu BN yang sudah lama mengidamkan untuk mendapatkan kerusi penting pembangkang itu. Perseteruan PAS dan PKR serta Pakatan Harapan (PH) bakal memberikan petanda buruk kepada masa depan PKR di kerusi keramat mereka ini dan dengan pemilihan calon yang betul dan dekat dengan rakyat, tidak mustahil untuk BN merampas kembali kerusi berkenaan.

Kegoyahan PKR di Permatang Pauh kini tidak lagi boleh dinafikan dan parti berkenaan kini sedang berdepan bencana besar dan ia jelas amat ditakuti. Rakyat Permatang Pauh yang ditemui juga sudah mula muak melihat kawasan mereka dijadikan papan catur politik buat PKR yang tidak mengutamakan pembangunan kehidupan rakyat secara menyeluruh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here