Kontinjen negara pada temasya Sukan Komanwel Belia di Samoa melakar pencapaian menakjubkan apabila menamatkan saingan di kedudukan keempat daripada 64 negara.

Malaysia membawa pulang 11 emas, tiga perak dan tiga gangsa dan ia dianggap satu pencapaian di luar jangkaan ketika atlet muda perlu bersaing dengan negara gergasi Komanwel seperti Australia, England dan Afrika Selatan.

Paling cemerlang pastinya barisan atlet muda negara dalam acara skuasy apabila menyapu bersih semua lima emas yang dipertandingkan dan kecemerlangan dua perenang negara Wong Fu Kang dan Welson Sim juga perlu diberi pujian.

Begitupun, pencapaian atlet dalam angkat berat juga tidak kurang hebatnya apabila menghadiahkan dua emas menerusi Nur Atikah Muhamad Sobri dalam acara 58kg wanita dengan jumlah angkatan keseluruhan 160kg dan Muhammad Erry Hidayat dalam acara 69kg dengan jumlah angkatan 255kg.

Bagi Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, beliau boleh menarik nafas lega apabila program pelapis menunjukkan sinar cahaya dan harapan pada masa hadapan terutama ketika negara sedang bersedia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017.

Kebolehan atlet muda yang berada dalam lingkungan umur 14-18 tahun bersaing menunjukkan petanda baik buat sukan negara.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh bandingkan pencapaian empat tahun lalu dengan edisi kali ini kerana empat tahun lalu tidak banyak acara dipertandingkan tapi melihat secara keseluruhan terutamanya acara renang dan angkat berat menunjukkan peningkatan positif dan program pelapis negara membuahkan hasil.

“Bagi acara skuasy pula atlet negara sudah berada sebaris dengan negara Komanwel lain, malah kejayaan mereka menyapu bersih emas yang dipertandingkan itu juga cukup membanggakan,” katanya.

Apapun, Shapawi menegaskan atlet tidak boleh terleka dengan kejayaan yang mereka capai pada usia remaja ini kerana ranjau lebih besar menanti mereka selepas berusia 18 tahun.

Pada edisi lalu, kontinjen negara menyumbang empat emas, dua perak dan satu gangsa.

Sumber:HarianMetro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here