WALAUPUN berdepan ancaman pentadbiran Donald Trump, akhirnya majoriti negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memilih untuk membidas keputusan Amerika Syarikat (AS) dalam mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Dalam undian yang dilakukan di dewan Perhimpunan Agung PBB (UNGA) awal pagi tadi (waktu Malaysia), sebanyak 128 negara menyokong draf resolusi mengecam tindakan AS itu, manakala sembilan negara membantah dan 35 yang lain pula berkecuali.

Apa Selepas Ini?

Resolusi yang diluluskan semalam setidak-tidaknya memberikan satu mesej yang jelas kepada AS dan sekutunya Israel bahawa tindakan mereka dalam melanggar ketetapan antarabangsa mengenai isu pemilikan kota suci Batulmaqdis sudah benar-benar menguji kesabaran masyarakat antarabangsa. Bahkan dalam undian yang dibuat pagi tadi, kesemua negara kuasa veto PBB yang lain iaitu Britain, China Perancis dan Rusia turut mengundi menyokong resolusi tersebut, membayangkan betapa AS kini tidak lagi punya teman seangkatan dalam tindakannya menyokong dan membela Israel secara membabi-buta.

Baitulmaqdis adalah kota suci untuk tiga penganut agama di dunia iaitu Islam, Kristianiti dan Judisme, serta diletakkan dibawah kawalan dan autoriti antarabangsa. Justeru, selain AS, tidak ada mana-mana negara yang mengiktiraf kota itu sebagai milik Israel, apatah lagi mempunyai kedutaan mereka di situ.

Tiada Tindakan, Hanya Kenyataan

Resolusi yang diangkat oleh UNGA awal pagi tadi sememangnya merupakan satu kemenangan moral yang amat besar buat Palestin khususnya dan masyarakat antarabangsa secara amnya. Walau bagaimanapun, ia tidaklah mengikat PBB untuk mengambil sebarang tindakan susulan berhubung isu Baitulmaqdis. Dalam konteks kelulusan sesebuah resolusi mengenai keselamatan dan keamanan di UNGA, sekurang-kurangnya undian sebanyak dua pertiga ahli diperlukan, dan perkara itu dengan mudah dicapai seperti yang telah kita ketahui hari ini. Berbanding dengan mana-mana resolusi yang diluluskan Majlis Keselamatan PBB (UNSC), resolusi di UNGA hanyalah bersifat membidas, mengecam dan bertindak sebagai satu manifestasi persetujuan antarabangsa mengenai sesuatu isu.

Keputusan beberapa negara Arab dan Muslim yang diketuai Turki untuk memanggil sidang UNGA semalam dibuat setelah UNSC gagal mengecam tindakan unilateral AS yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada sesi perjumpaannya Isnin lalu. Dan tindakan seumpama itu memang sudah dijangka. Tatkala AS memang pasti menggunakan kuasa vetonya dalam membatalkan sebarang draf resolusi UNSC yang tidak menyebelahi Israel, negara itu walau bagaimanapun tidak sama sekali boleh menggunakan kuasa dan keistimewaan itu dalam membatalkan resolusi yang serupa di UNGA. Untuk rekod, sejak 1970-an, AS telah menggunakan kuasa vetonya dalam membatalkan lebih 42 resolusi UNSC mengenai kekerasan dan pembantaian oleh Israel ke atas masyarakat Palestin.

Memahami Sikap AS Terhadap Institusi Antarabangsa

Memahami akan konsep legaliti dan sifat resolusi di UNGA yang hanya bersifat verbal, AS tentu sekali tidak akan terikat dengan keputusan majoriti besar negara anggota PBB pagi tadi. Malah, Duta AS ke PBB Nikki Haley dalam ucapannya di UNGA sebelum sesi undian dibuat turut menyatakan bahawa AS akan tetap memindahkan kedutaannya di Tel Aviv ke Baitulmaqdis seperti yang telah negara itu janjikan kepada rakyatnya dan Israel. Sikap AS ini jelas memperlihatkan keangkuhannya dalam melanggar ketetapan antarabangsa apabila merasakan kuasanya tidak boleh dicabar oleh mana-mana negara lain.

Sikap negara itu dalam hal ini tidaklah sukar untuk difahami. Ketika negara-negara lain, hatta negara-negara kuasa besar seperti Britain, China, Perancis dan Rusia menjadikan institusi antarabangsa seperti PBB sebagai sumber legitimasi diplomasi mereka, AS pula tidak melihat jalan yang serupa. Bagi AS, tidak ada mana-mana institusi ataupun kerajaan di peringkat antarabangsa yang mempunyai kuasa dan autoriti yang lebih tinggi daripada negara itu sendiri. Justeru kita melihat semalam bagaimana Haley dengan selamba membuat kenyataan awal bahawa sebarang undian UNGA mengecam tindakan AS tidak akan mengubah apa-apa pendirian negara itu mengenai Baitulmaqdis kerana bagi AS, kedaulatan negara ataupun “national authority and sovereignty” lebih penting.

Sikap dan bentuk keangkuhan yang sama dapat kita lihat diambil AS dalam isu perang di Iraq. Ketika UNSC, melalui Resolusi 1441, memutuskan bahawa tidak ada sebarang justifikasi kukuh mengenai penemuan senjata biologi dan pemusnah (weapons of mass destruction – WMD) yang disimpan oleh pentadbiran Saddam Hussien, AS nyata tidak bersetuju dengan perkara itu dan lantas mengambil tindakan melancarkan perang terhadap Iraq pada 2003. Hanya setahun selepas itu, bukti mula timbul bahawa segala maklumat perisikan dan bukti mengenai senjata biologi itu sememangnya telah direka bagi menumbangkan rejim Saddam.

Harapan Terus Tinggal Harapan

“Amalan-amalan” AS seperti ini membuktikan bahawa resolusi yang diangkat UNGA pagi tadi tidak akan membuatkan AS berundur daripada tindakannya mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, apatah lagi itu adalah janji yang telah diberikannya kepada negara haram itu sejak 1995 lagi. Israel juga sudah tentu tidak akan menghiraukan resolusi sebegini untuk kesekian kalinya. Hakikat bahawa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menggelar PBB sebagai “House of Lies” sebelum sesi undian pagi tadi jelas memperlihatkan sikap negara Yahudi itu terhadap suara dan ketetapan antarabangsa. Maka, dunia bolehlah bersedia untuk terus melihat kesinambungan siri kekerasan Zionis ke atas penduduk Palestin selepas ini. Dengan pengiktirafan unilateral AS mengenai pemilikan Israel ke atas Baitulmaqdis dua minggu lalu, penyelesaian dua negara Palestin-Israel yang dicanangkan selama ini adalah satu mitos yang tidak wajar lagi kita percayai.

Justeru, harapan masyarakat dunia untuk melihat PBB sebagai institusi yang akan mengawal sikap semua negara anggota hanya akan tinggal harapan semata-mata. AS sama sekali tidak akan tunduk kepada tekanan antarabangsa seperti ini kerana bagi negara itu, mempunyai sebuah institusi yang mengawal tindakannya di peringkat global samalah seperti mengorbankan kepentingan dan menghakis pengaruhnya. AS sebuah negara yang angkuh. Masakan ia mahu melihat kepentingannya dikorbankan dan pengaruhnya pula diimbangi kuasa-kuasa besar yang lain seperti China dan Rusia. Apa pun, ketika AS bertindak seolah-olah tidak ada kuasa yang mampu menghalang sebarang tindak-tanduknya di peringkat antarabangsa, ia sememangnya sedar bahawa pengaruhnya semakin lama semakin terhakis dengan Britain dan Perancis kini turut mula menongkah arus dalam memastikan dunia ini tidak kembali jatuh dalam penguasaan tunggal AS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here