kebebasan

Menurut Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (United Nation), Perkara 19 menggariskan hak untuk setiap individu untuk bersuara dan menyatakan pendapat, termasuklah hak untuk memiliki pendapat tanpa sebarang provokasi dan gangguan, serta mempunyai hak untuk mencari, menerima dan menganalisa maklumat dari sebarang sumber yang dipercayai olehnya.

Hak ini amat penting dalam hak asasi manusia, dan merupakan perakara yang seringkali hangat diperdebatkan oleh masyarakat sivil dan para aktivis. Dalam Perlembagaan Malaysia, Perkara 10 menyatakan bahawa rakyat Malaysia berhak atas kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun dan berpersatuan. Walaubagaimanapun, menurut laporan Freedom House pada tahun 2017, skor kebebasan di Malaysia adalah 44/100, di mana terdapat halangan dalam kebebasan hak individu di negara ini, meskipun telah banyak peningkatan dari segi penglibatan masyarakat sivil dan kesedaran politik yang berlaku kebelakangan ini.

Mengupas hak untuk bebas bersuara di Malaysia, terutama dalam kalangan individu adalah sesuatu yang kompleks. Perbezaan pendapat kerapkali mengundang permusuhan dan intimidasi dan seterusnya provokasi yang berakhir dengan buruk. Di Malaysia, rata-rata masalah mengawal emosi dalam melontarkan pendapat secara rasional dan bertimbang rasa merupakan punca utama mengapa rakyat sukar bersatu meskipun mempunyai aspirasi politik yang sama.

Terdapat 4 peringkat implikasi dari mempraktikkan hak kebebasan bersuara yang akan saya gariskan dalam tulisan ini. Di mana silapnya kita ketika menyuarakan pendapat, dan apakah kesan daripada perbuatan dan perkataan kita?

Pertamanya ialah tiada implikasi. Mungkin kedengaran pelik, namun perbezaan pendapat yang sihat disulami dengan rasional dan justifikasi yang diberikan secara berhemah dan bertoleransi. Perbezaan antara kelas masyarakat, terutamanya golongan tertindas seringkali berbeza pengalaman dengan mereka yang memiliki kelebihan dalam strata sosial yang tersendiri. Perbezaan prinsip politik; kiri, kanan, tengah, konservatif, liberal, sosialis, dan pelbagai lagi pecahan dalam pendirian haruslah diambil kira dan didengar dengan teliti, tanpa menafikan hak seseorang individu untuk menyatakan pendapat mereka. Ramai rakan-rakan dan ahli keluarga yang memiliki pendapat yang berbeza, justeru perkara ini harus ditangani dengan berhati-hati, seperti menarik rambut dalam tepung; rambut tak putus, tepung tak berselerak.

Implikasi yang kedua ialah implikasi sosial individu, di mana terdapat kekangan dalam melontarkan pendapat yang bersifat derogatif kepada individu lain. Perkara ini boleh dilihat melalui sokongan kepada polisi yang mendiskriminasi individu lain kerana perbezaan warna kulit, bangsa, agama, gender, orientasi seksual, ideologi politik dan sebagainya. Perkara ini seringkali menyebabkan intimidasi dan perpecahan dalam masyarakat, kerana kecenderungan untuk mempertahankan hak keistimewaan individu mengatasi pentingnya melayan setiap individu dengan adil dan samarata.

Seterusnya ialah implikasi sosial rasmi. Implikasi ini di peringkat yang membimbangkan, di mana ia sudah berada di luar piawaian moral masyarakat. Pendapat yang sebegini adalah pendapat yang menjatuhkan definisi manusia pada sesetengah kaum yang tidak disenangi, dan melihat mereka sebagai sub-human. Perbezaan ketara antara piawaian yang diberikan terhadap wanita dan lelaki, di mana seringkali wanita diklasifikasikan sebagai ‘second sex’ yang tidak produktif kepada perkembangan negara secara fiskal dan menolak untuk meletakkan wanita di kedudukan tertentu atas sebab-sebab biologi amat kerap terjadi.

Implikasi terakhir ialah implikasi undang-undang, di mana pendapat dan ucapan yang dikemukakan mendatangkan kesan fizikal kepada individu dan masyarakat. Ucapan yang mengajak kepada perbuatan kekerasan, permusuhan secara terang-terangan, dan mengakibatkan kecederaan fizikal kepada individu, haruslah dihukum dan diberikan perhatian yang serius, kerana hal ini telah meragut hak asasi manusia daripada mangsa.

Meskipun implikasi-implikasi ini terlihat tidak jauh beza antara satu sama lain, adalah penting untuk seseorang menggariskan limitasi dalam melontarkan pendapat dan mempraktikkan hak kebebasan bersuara yang dimiliki. Perpecahan dalam masyarakat yang timbul kerana perbezaan pendapat haruslah ditangani sebaik mungkin, bukan diapi-apikan dengan ugutan serta provokasi ‘kehilangan hak keistimewaan’ walhal setiap individu seharusnya dilayan samarata.

HERINZA SYADZA adalah bekas staf INVOKE serta pernah bekerja dengan YB Rafizi Ramli. Artikel ini adalah pandangan peribadi beliau dan tiada kena mengena dengan Malaysian Access.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here