Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Azmin Ali sering dilihat sebagai individu yang memiliki pendirian bertentangan dengan partinya sendiri. Namun begitu, Azmin juga mempunyai kumpulan penyokong yang kuat dan berdiri teguh di belakangnya. Beliau boleh disifatkan sebagai pemimpin berpengaruh dalam parti berkenaan dan ini menjadikan kedudukan beliau kukuh dalam memberi apa-apa pandangan atau membuat keputusan terhadap masa depan parti.

Terbaru Azmin dilihat sebagai individu terpenting yang memainkan peranan menggerakkan kerjasama PKR dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) walaupun apa yang dihasratkan beliau bertentangan dengan pendirian Pakatan Harapan (PH). Sesuatu yang menghairankan ialah Azmin seperti tidak mengendahkan keputusan yang dibuat oleh Majlis Presiden PH berkenaan tiada sebarang kerjasama akan dijalinkan dengan parti Islam itu. Namun Azmin lebih melihat aspek kedudukannya sebagai Menteri Besar dan bagaimana Selangor mahu dikekalkan di bawah pentadbiran sedia ada.

Semasa Majlis Presiden PH memutuskan kedudukan untuk tidak bekerjasama dengan PAS baru-baru ini, Azmin dilaporkan tidak menghadirkan diri ke mesyuarat berkenaan dan pengumuman dibuat Majlis Presiden itu dibuat tanpa kehadiran Azmin. Mesyuarat berkenaan pada asalnya diadakan sebagai memenuhi tuntutan jadual Azmin dan semua ahli Majlis Presiden berharap beliau hadir untuk memberikan apa-apa penjelasan yang munasabah berkaitan cadangan kerjasama dengan PAS, namun keadaan berkenaan tidak berlaku.

Keadaan ini menimbulkan satu lagi persoalan sama ada Azmin kini bimbang mengenai kedudukannya di dalam PH dan bagaimana pula PH boleh membuat keputusan berhubung cadangan kerjasama dengan PAS itu tanpa kehadiran invidu yang bersungguh-sungguh membawakan cadangan berkenaan. Sikap Azmin yang tidak hadir ke mesyuarat berkenaan boleh memberikan isyarat negatif terhadap keharmonian di dalam organisasi PH.

Malah sekutu Azmin dan pemimpin PKR yang dikatakan mempunyai kecenderungan untuk bersetuju dengan cadangan kerjasama dengan PAS seperti Tian Chua dan Zuraida Kamaruddin juga menyebut mereka tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung ketidak hadiran Azmin itu. Ini satu hal penting yang wajar diselesaikan dan Azmin sebagai antara pemimpin utama yang menimbulkan isu ini wajar hadir dan memberikan penjelasan.

Ketiadaan Azmin dalam mesyuarat berkenaan menjadikan keputusan Majlis Presiden yang memutuskan tiada sebarang kerjasama akan dijalinkan antara PH dan PAS sebagai tidak cukup kukuh dan kemungkinan besar isu ini akan terus melingkari hubungan parti-parti dalam PH. Lebih memeritkan Azmin telah dilantik oleh PH sebagai Pengarah Pilihan Raya bagi gabungan pembangkang berkenaan dan adakah Azmin akan menggunakan kedudukannya ini untuk menentukan strategi pilihan raya PH dan memasukkan PAS sebagai rakan kerjasama?

Azmin yang kini seperti berdiam diri dan tidak mahu mengeluarkan apa-apa kenyataan jelas membuatkan PH berada dalam keadaan tidak selesa dan pemimpin berkenaan perlu segera memberikan kenyataan yang jelas bagi memastikan tiada sebarang usaha secara diam-diam dilakukan sehingga menyebabkan PH berada dalam keadaan seperti disabotaj pemimpin sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here