Mutiara

PULAU PINANG – Pelbagai usaha telah dilakukan namun segalanya menjadi sia-sia buat lebih 360 orang penduduk Kampung Mutiara, Batu Feringghi, di sini, dalam mempertahankan penem­patan mereka sejak 50 tahun lalu.

Hari ini penduduk Kampung Mutiara terpaksa akur dalam tangisan yang mereka tetap perlu mengosongkannya dalam tempoh tiga bulan hasil perbinca­ngan antara Penolong Pendaftar Mahkamah negeri, Nur Zafirah Mohd. Ali bersama pemilik ta­nah, Peter Loke Leng Seang, 65.

Mengikut ketetapan asal, mereka sepatutnya mengosongkan tanah tersebut hari ini selepas mahkamah memerintahkan demikian pada 17 Februari 2016 dan notis arahan itu juga dikeluarkan 10 Julai lalu.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, Peter Loke turut meminta wang jaminan RM100,000 dan berjanji akan memulangkan sebanyak RM50,000 sekiranya penduduk berjaya mengosongkan tanah tersebut dalam tempoh masa ditetapkan dan ia dibayar oleh UMNO Bukit Bendera.

“Kita berharap penduduk memberi kerjasama dan perjanjian persetujuan akan dibuat dalam masa terdekat.

“Pemindahan semua penduduk akan dilakukan sebaik sahaja apartmen di Sri Tanjung Pinang 1, Tanjung Tokong mendapat hak strata dan proses ini memerlukan bantuan kerajaan Pusat untuk mempercepatkannya,” jelas beliau.

Mengulas pembinaan rumah di Kampung Mutiara, Ahmad memberitahu, pihaknya telah menyerahkan peruntukan RM10 juta daripada kerajaan Pusat kepada pemaju dua minggu lalu dan masih memerlukan RM20 juta lagi bagi memastikan projek perumahan bercampur 500 unit apartmen itu berjaya dilaksanakan.

“Pembinaan apartmen di dua lot tanah berkeluasan lebih 2.9 hektar itu sebenarnya bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah 40 rumah dan 70 keluarga Kampung Mutiara tetapi 500 keluarga di seluruh Batu Feringghi,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Zawiyah Ismail, 62, berkata, dia berterima kasih atas usaha dilakukan Ahmad dan kerajaan negeri dalam menyediakan penempatan sementara di Sri Tanjung Pinang 1.

“Memang kami setuju de­ngan keputusan ini tetapi masih berharap dapat balik ke tanah ini sebab kami mahu mati di sini, disemadikan bersama ibu bapa kami di sini,” katanya yang tinggal di Kampung Mutiara sejak lebih 40 tahun lalu.

Seorang lagi penduduk, K. Govindarajoo, 61, berkata, dia yang tinggal bersama lima ahli keluarganya akur dengan perintah pengosongan itu walaupun amat sedih.

Dia yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dan berkerusi roda berkata, sebelum ini, penduduk membantah dan tidak mahu keluar dari kawasan itu seperti diminta pemiliknya kerana mereka tidak diberikan pampasan dan tempat tinggal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here