Bandar Klang atau lebih dikenali sebagai ‘Bandar Diraja Klang’ pastinya bukan lagi nama asing dalam kalangan penduduk di Selangor, bahkan rakyat Malaysia kerana ia amat terkenal sebagai lokasi yang mempunyai antara pelabuhan tersibuk di negara ini.

Walaupun pesat membangun dengan pelbagai aktiviti perniagaan di pelabuhan sejak 200 tahun, namun daerah berkeluasan 62,678 hektar ini sebenarnya mempunyai tarikan tersendiri untuk menggamit pengunjung tempatan atau luar negara.

Bandar Klang sebenarnya di belah 2 menjadi Klang Utara dan Klang Selatan oleh Sungai Klang.

Asalnya nama daerah itu daripada bahasa Mon-Khmer iaitu ‘Klong’ bermaksud gudang, hasil kemasyhuran pelabuhannya sekitar tahun 1800. Klang kini terus membangun dan membawa pelbagai ceritera menerusi tinggalan sejarahnya selain menawarkan tempat-tempat menarik untuk dilawati pengunjung.

Antara bandar tertua di Malaysia

Walaupun Bandar Klang sering dipilih sebagai lokasi membeli-belah dan percutian singkat penduduk kawasan sekitar, namun ramai kurang menyedari bahawa ia antara bandar tertua di Malaysia kerana dibuka seawal tahun 1800 dan menyimpan pelbagai warisan serta khazanah untuk tatapan masyarakat.

Antara ‘hidangan’ untuk kajian pencinta sejarah adalah Masjid Diraja Sultan Suleiman, Istana Alam Shah, Kota Raja Mahadi, Galeri Diraja Klang, Gedung Raja Abdullah, Jambatan Kota serta bangunan-bangunan lama di sekitar bandar berkenaan.

Menurut Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (Selangor), Arshad Mustapa, pelbagai usaha dilakukan pihaknya Tourism Selangor Sdn Bhd dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi mengetengahkan bandar ini supaya segala warisan yang ditinggalkan terus dihargai masyarakat pada masa hadapan.

“Mengambil contoh Jambatan Kota, mungkin kedengaran seperti jambatan jalan raya biasa yang menghubungkan Klang Utara dan Klang Selatan, tetapi jika dilihat faktanya, ia adalah jambatan 2 tingkat pertama dibina di negara ini oleh pihak Inggeris pada tahun 1957.

“Nilai sejarahnya cukup tinggi. Begitu juga Masjid Diraja Sultan Suleiman yang dibina pada 1932. Seni binanya yang mempunyai pengaruh seni bina Islam ‘Moorish’ dan Inggeris cukup mempesona selain nilai sejarahnya dalam pengembangan agama Islam juga tidak kurang hebatnya,” katanya kepada Bernama, di sini.

Syurga makanan laut

Arshad berkata walaupun Bandar Klang sering dikunjungi masyarakat khususnya dari sekitar daerah lain di Selangor sama ada untuk melihat bangunan bersejarah, namun masih ramai tidak perasan lokasi itu juga menjadi ‘syurga’ makanan laut yang paling hampir dengan Kuala Lumpur.

“Umum mengetahui, Klang memang terkenal kerana ia Bandar Diraja Selangor, tetapi ada juga yang tidak tahu bahawa daerah ini menawarkan pelbagai hidangan makanan laut pada harga kompetetif dan yang penting, ia lokasi yang paling hampir dengan bandar raya sekitarnya.

“Pelabuhan Klang dan di Pulau Ketam misalnya, banyak tawaran makanan laut boleh didapati di situ dan pengunjung atau pelancong tidak perlu berjalan jauh yang memungkinkan perbelanjaan lebih tinggi semata-mata untuk menikmati hidangan laut. Segalanya ada di sini,” katanya.

Kemudahan perhubungan yang baik

Faktor penting yang sering menjadi pilihan pengunjung ke mana-mana lokasi khususnya untuk melancong pastinya melibatkan aspek kemudahan perhubungan sama ada jalan raya, pengangkutan awam, keselesaan penginapan dan pusat maklumat.

Menurut Arshad, sebagai antara bandar yang hampir dengan ibu negara, Klang mempunyai jaringan jalan raya dan lebuh raya yang baik bagi memudahkan kehadiran pengunjung sama ada dari dalam atau luar negara.

“Lebuh raya yang banyak malah ada yang menghubungkan dengan lapangan terbang menarik minat pelancong untuk terus mengunjungi bandar ini. Malah pengangkutan awam seperti bas, komuter dan sebagainya memudahkan masyarakat untuk bergerak.

“Kerajaan negeri khususnya MPK tidak dinafikan menyalurkan maklumat dan melakukan pelbagai usaha secara berterusan bagi meningkatkan kehadiran pelancong ke kawasan ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, usaha dan peranan MPK dalam menjaga dan memelihara bandar diraja ini harus dipuji kerana secara tidak langsung, ia terus menambah nilai kepada sejarah di kawasan berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here