Sebelum ini kita sering diperdengarkan dengan berita dan ramalan di pihak pembangkang bahawa mereka menguasai undi masyarakat bandar dan amat yakin dengan penguasaan berterusan mereka di media sosial. Malah keyakinan mereka itu sering diulang-ulang sebagai satu bentuk kejayaan, walaupun sebenarnya apa yang diungkapkan mereka itu tidak berasaskan kepada apa-apa kajian, namun hanya satu bentuk persepsi yang cuba diolah sebagai sebuah fakta. Pakatan pembangkang sebenarnya berdiri di atas paksi persepsi yang langsung tidak kukuh dan boleh roboh bila-bila masa sahaja.

Namun sejak pertengahan tahun 2017, keadaan dan persepsi yang cuba digambarkan oleh pembangkang itu semakin hari semakin berubah. Malah beberapa tinjauan yang dilakukan badan bebas dan pakar media sosial mendapati sokongan kelompok media sosial kini sebenarnya lebih memihak kepada Barisan Nasional (BN). Ini jelas satu kejutan kepada pihak pembangkang kerana persepsi yang cuba dibina selamat ini ternyata tidak memberikan apa-apa hasil.

Malah jumlah pengikut YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak lebih ramai daripada pemimpin pembangkang yang lain. Lebih meyakinkan BN ialah keupayaan pemimpin muda seperti Ketua Pemuda UMNO merangkap Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin yang disifatkan oleh kebanyakan kajian dan tinjauan sebagai pemimpin dan ahli politik paling berpengaruh di media sosial. Penguasaan media sosial kini bukan lagi milik pembangkang berasaskan persepsi, namun kini sudah dipegang kemas BN secara fakta.

Hari ini badan tinjauan bebas Twitter, Politweet pula menerbitkan kajian terbaru mereka berasaskan kepada pengamatan dalam kalangan pengguna Twitter dalam lingkungan pengundi baru di Semenanjung Malaysia untuk suku pertama tahun 2017. Berdasarkan kajian berkenaan BN mencapai peratusan sokongan sehingga 45 peratus dan 11 peratus responden dilihat masih tidak membuat keputusan dan hanya berada di atas pagar. Usaha keras di saat akhir sebenarnya mampu mengubah sokongan 11 peratus ini untuk beralih kepada BN.

Namun nasib berbeza kepada parti pembangkang khasnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang sering dicanang-canang sebagai pengganti dan mahu menjadi alternatif kepada UMNO. Berdasarkan kepada laporan Politweet, yang menilai sokongan di 52 kerusi di Semenanjung Malaysia yang dijangka akan ditandingi BERSATU, parti yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad itu hanya mampu menang 6 kerusi maksimum.

Melalui pengamatan ini jelas bahawa populasi media sosial sudah tidak lagi cenderung untuk mengundi pembangkang, namun lebih bersikap terbuka untuk melihat BN sebagai parti yang berpotensi untuk diberikan undi dan kemudiannya mencapai kemenangan. Ini melihatkan tugas Tun M tidak semudah apa yang dinyatakan saban waktu. Keyakinan Tun M terhadap keupayaan partinya sendiri sebenarnya tidak mempunyai apa-apa asas.

Tidak keterlaluan untuk kita katakan kepada Tun M dan rakan-rakan bahawa jika pilihan raya umum diadakan sekarang, BERSATU akan berada dalam kalangan pihak yang kalah malah kekalahan BERSATU ini bakal menghadirkan mimpi buruk kepada Pakatan Harapan yang kemungkinan besar akan tinggal harapan sahaja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here