KUALA LUMPUR 19 Ogos – Kadar inflasi negara kekal terurus meskipun berlaku peningkatan bulan lalu, dengan jangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus pada tahun ini.

Menurut firma penyelidikan JP Apex Research, Indeks Harga Pengguna (IHP) yang meningkat sebanyak 3.3 peratus kepada 113.9 Julai lalu berbanding 110.3 yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu, adalah di luar jangkaan pasaran iaitu 2.9 peratus.

“Kenaikan IHP sebanyak 0.8 peratus itu berbanding bulan sebe­lumnya, didorong oleh peningkatan lapan komponen penting terutama sektor makanan dan minuman bukan beralkohol,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Jabatan Perangkaan dalam kenyataan hari ini berkata, peningkatan IHP itu didorong oleh kenaikan dalam indeks kumpulan minuman beralkohol dan tembakau, pelbagai barangan dan perkhidmatan, restoran dan hotel, hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah serta makanan dan minuman bukan beralkohol.

Jelasnya, enam kumpulan barangan dan perkhidmatan yang mempunyai wajaran 47.4 menyumbang sebanyak 66.8 peratus kepada peningkatan IHP bagi Julai lalu.

Selain itu, jelas Jabatan Perangkaan, indeks keseluruhan itu turut dipengaruhi peningkatan kumpulan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan sebanyak 1.9 peratus, pengangkutan (1.6 peratus) serta peningkatan kecil dalam pakaian dan kasut (0.9 peratus).

Mengulas lanjut, JF Apex berkata, pihaknya menjangkakan trend kenaikan IHP akan terus berlaku pada bulan ini dengan kadar 3.6 peratus di sebalik pemulihan dalam komponen pengangkutan bulan lalu.

Firma penyelidikan itu turut mengunjurkan semula kadar inflasi untuk sepanjang tahun ini kepada 2.5 peratus daripada 3 peratus mengambil kira kejatuhan berterusan harga komoditi dan penangguhan kenaikan tarif elektrik.

Selain itu katanya, dijangka tidak berlaku sebarang kenaikan kadar tol pada tahun ini, namun perkara tersebut bergantung kepada kajian semula tahun depan, dengan jangkaan peningkatan sebanyak lima peratus.

“Bagaimanapun, keputusan akhir kenaikan kadar tol itu bergantung kepada kelulusan kerajaan,” katanya.

Sumber: Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here