29 Ogos ini pasukan bola sepak Malaysia dikenali dengan gelaran Harimau Malaya bakal berdepan pasukan Thailand dalam perlawanan akhir acara bola sepak di temasya Sukan SEA ke-29. Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara ini ialah pada tahun 2011 ketika Sukan SEA di Palembang, Indonesia. Sememangnya diketahui Thailand merupakan pasukan pilihan untuk menang dan Malaysia bimbingan Datuk Ong Kim Swee pula berjaya menunjukkan prestasi baik setakat ini dengan menang semua perlawanan yang dilaluinya.

Jelas sekali sokongan padu rakyat Malaysia menjadi tonik tambahan buat penambah tenaga dan kekuatan luar biasa skuad negara. Jumlah penonton yang membanjiri Stadium Shah Alam untuk setiap perlawanan semakin bertambah dan kemuncaknya ketika aksi separuh akhir bertemu Indonesia apabila stadium dengan kapasiti 80 ribu itu menyaksikan penyokong kedua-dua pasukan berjaya memenuhi setiap ruang tempat duduk yang ada.

Berasaskan kepada sambutan hangat terhadap aksi skuad bola sepak negara ini, sudah tentu perlawanan akhir juga bakal memberikan satu kenangan terindah untuk Malaysia memahatkan pingat emas buat kontinjen Malaysia yang kini cuba mencapai sasaran keseluruhan 111 pingat emas. Namun hasrat rakyat Malaysia untuk menjadi pemain ke-12 di Stadium Shah Alam dilihat sedikit terjejas apabila Sektretariat Sukan SEA mengumumkan jualan tiket secara dalam talian tidak akan dilaksanakan untuk perlawanan akhir bola sepak ini.

Keputusan ini sebenarnya menimbulkan tanda tanya kerana ini hanya akan menyusahkan penyokong yang mahu mendapatkan tiket, tetapi tinggal berjauhan dari kawasan Shah Alam. Penjualan tiket secara dalam talian amat membantu dan menjadi tanda terpenting kepada era kemajuan sukan negara. Pembelian tiket secara dalam talian juga tidak berdepan banyak masalah dan dapat mengurangkan kesesakan di kaunter jualan di stadium.

Janji pihak penganjur dan sekretariat juga dipertikai apabila gagal menyediakan 20 kaunter jualan seperti yang dimaklumkan dalam kenyataan media sebelumnya. Berdasarkan kepada pemerhatian penyokong yang berbaris seawal jam 12 malam, hanya kira-kira 10 kaunter jualan tiket sahaja yang dibuka. Keadaan ini jelas menyesakkan dan memberikan rasa tidak selesa kepada penyokong yang berbaris lama untuk mendapatkan tiket. Jelas sekali ini merupakan keputusan kurang bijak daripada penganjur dan sekretariat kerana sewajarnya kuota khas disediakan kepada pembeli melalui dalam talian.

Keadaan celaru seperti ini kemudiannya diburukkan lagi dengan keadaan pembeli yang membeli tiket bukan bertujuan untuk menonton perlawanan berkenaan tetapi lebih kepada menjual tiket dengan harga yang lebih tinggi. Berdasarkan kepada tinjauan di beberapa platform media sosial dan laman jualan di Internet harga tiket perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA ini telah mencecah sehingga RM150 sekeping dan rata-rata harga paling minimum yang ditemui ialah RM50 sekeping.

Tanpa penguatkuasaan yang tegas hal ulat tiket ini akan terus menghantui pengurusan sukan dan tiket acara di Malaysia. Sewajarnya kita memandang ke arah lebih positif dan memperuntukkan jumlah kuota tiket yang bersesuaian untuk dijual melalui saluran sah di laman web rasmi Sukan SEA ke-29. Kaedah seperti ini mampu mengurangkan kesesakan dan masalah yang berlaku. Namun kini nasi sudah menjadi bubur dan segala-galanya sukar untuk diperbetulkan lagi. Sehubungan itu, di masa akan datang aspek pengurusan tiket untuk acara sukan di Malaysia wajar menggalakkan penggunaan medium secara dalam talian bagi memberikan peluang sama rata kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mendapatkan tiket berkenaan di samping mengelakkan masalah ulat tiket seperti ini terus berlaku.

Kepada yang tidak berkesempatan mendapatkan tiket, tiada lagi pilihan lain untuk anda melainkan memberi sokongan kepada Harimau Malaya melalui siaran langsung di televisyen. Ayuh Malaysia! Beratur Bersama! Opps! Bangkit Bersama!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here