KUALA LUMPUR 16 Ogos – Penurunan jumlah jualan industri ken­deraan (TIV) di tiga pasaran automotif utama ASEAN iaitu Indonesia, Thailand dan Malaysia bagi tempoh enam bulan pertama ini, telah mendorong kejatuhan jualan kenderaan di ASEAN sebanyak 7.9 peratus berbanding tempoh sama 2014.

Setakat enam bulan pertama tahun ini, TIV di ASEAN meliputi tujuh pasaran utama iaitu Indonesia, Thailand, Malaysia, Filipina, Vietnam, Singapura dan Brunei merekodkan jualan 1.48 juta kenderaan berbanding 1.60 juta yang terjual pada tahun lalu.

Indonesia selaku pasaran automotif terbesar ASEAN mencatatkan kemerosotan sebanyak 18.2 peratus kepada 525,458 buah bagi tempoh Januari hingga Jun 2015, berbanding tempoh lalu sebanyak 642,110 buah, menurut data yang dikumpul oleh Persekutuan Automotif ASEAN (AAF).

Mengikut kajian-kajian sebelum ini, langkah bank pusat negara itu yang menaikkan kadar faedah menjadi antara faktor utama yang telah menjejaskan jualan kenderaan di negara tersebut. Langkah menaikkan kadar faedah itu dibuat bagi mengekang inflasi apabila kerajaan Indonesia telah mengurangkan subsidi bahan apinya.

Thailand yang merupakan pusat automotif serantau turut mencatatkan penurunan TIV apabila merekodkan jualan sebanyak 369,109 buah kenderaan berbanding 440,911 buah iaitu penurunan sebanyak 16.3 peratus.

Seperti Indonesia, kemerosotan jualan di Thailand juga turut disebabkan oleh kesukaran mendapatkan pinjaman membeli kenderaan selain dipengaruhi oleh sentimen pengguna yang lemah.

Malaysia yang merupakan pasaran automotif ketiga terbesar bagaimanapun hanya mencatatkan penurunan 3.3 peratus. Enam bulan pertama tahun ini, jumlah kenderaan yang terjual ialah 322,184 buah kurang 11,000 berbanding 2014 dengan 333,156 buah kenderaan yang terjual.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, penurunan jualan itu disebabkan corak per­belanjaan berhati-hati pengguna bagi mengawal kos kehidupan selain ketidaktentuan pasaran menjelang pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan. Pemberian pinjaman yang semakin ketat juga dilihat sebagai antara punca yang turut menjejaskan jualan.

Bagaimanapun menurut Peng­analisis Maybank IB Research, Ivan Yap, dijangka jualan pada separuh kedua tahun ini akan mengukuh hasil kempen jualan agresif oleh syarikat-syarikat pengedar kereta.

Vietnam mencatatkan peningkatan jualan paling ketara iaitu 66.8 peratus mencecah 91,790 buah kenderaan, berbanding 55,030 buah pada tahun lalu.

Peningkatan di Vietnam itu disumbangkan oleh kuasa pembeli yang meningkat, golongan muda yang ramai mula memasuki pasaran pekerjaan serta sokongan kerajaan untuk membantu perkembangan industri automotif di negara ini.

Malah menurut Presiden Institut Automotif Thailand, Vichai Jirathiyut, Vietnam akan menjadi automotif ASEAN yang berkembang paling pesat dalam tempoh 20 akan datang.

Singapura bagaimanapun mencatatkan pertumbuhan jualan paling tinggi berbanding negara-negara ASEAN yang lain apabila merekodkan tambahan 15,000 kenderaan kepada 34,087 buah untuk enam bulan pertama tahun ini, berbanding 19,794 buah pada tahun lalu.

Hal itu agak mengejutkan apabila kerajaan negara itu pada awal tahun ini telah meningkatkan cukai bahan apinya dalam usaha mengawal peningkatan kenderaan di negara itu yang mungkin mendapat manfaat hasil kejatuhan harga minyak dunia. Malah, bagi Jun lalu, jualannya kenderaan di Singapura tumbuh 102 peratus kepada 8,296 buah berbanding 4,100 buah pada Jun 2014 iaitu sewaktu harga minyak dunia berlegar sekitar AS$110 (RM448.855) setong.

Filipina juga mencatatkan peningkatan sebanyak 20 peratus bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini kepada 131,465 buah berbanding 108,957 buah tahun lalu, sementara Brunei mencatatkan penurunan jualan kepada 7,884 buah berbanding 8,992 tahun lalu. – UTUSAN ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here