JPJ

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ternyata tidak pilih kasih dalam melaksanakan undang-undang lalu lintas apabila pegawai kanannya iaitu Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ dijatuhi hukuman denda RM600 di atas kesalahan memandu di lorong kecemasan.

Datuk Yusoff Ayob, 58, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun tidak hadir ke Mahkamah Majistret Putrajaya semalam kerana perlu menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat JPJ.

Beliau diwakili pegawai khasnya dikenali sebagai Tengku Dahari yang mengakui kesalahan tersebut.

Pengakuan bersalah itu direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Ab Rahman.

Mengikut pertuduhan, Yusoff didakwa disaman selepas melakukan kesalahan lalu lintas JPJ dengan memandu sebuah Proton Inspira dengan nombor pendaftaran BLY68 di lorong kecemasan di Lingkaran Putrajaya pada pukul 6.27 petang, 7 Oktober tahun lalu.

Beliau dituduh mengikut Kaedah 53(1) Kaedah Lalu Lintas Jalan Raya 1959 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan OKS menjalani tambahan hukuman penjara tujuh hari sekiranya gagal membayar denda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here