White House

JEMPUTAN rasmi yang dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald J. Trump ke atas Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk pertemuan empat mata di Rumah Putih pada 12 September depan merupakan satu kemenangan politik kepada pemimpin nombor satu Malaysia itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar dan Kedutaan Besar AS di Malaysia, kedua-dua pemimpin itu dijangka akan bertemu dan berbincang mengenai beberapa isu yang menjadi kepentingan bersama yang meliputi keselamatan negara, perang global terhadap keganasan dan ekstremisme, perdagangan dan pelaburan yang bakal memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Pertemuan itu juga bakal menjadi simbolik kepada ulang tahun ke 60 hubungan Malaysia-AS di mana kedua-dua pemimpin akan melihat kepada mekanisma dalam mengerat dan memperkukuhkan hubungan dua hala selain mengembangkan kerjasama serantau dalam pelbagai aspek.

Karisma Najib

Lawatan Najib ke Washington DC yang dijadualkan pada 10-12 September kelak dilihat sebagai satu penghormatan pentadbiran Trump ke atas Najib yang dilihat sebagai pemain penting dalam iklim geopolitik Asia Tenggara ketika Washington cuba mengimbangi pengaruh Beijing di rantau ini.

Dalam masa yang sama, jemputan Trump itu juga adalah satu pengiktirafan ke atas status Najib sebagai seorang pemimpin yang disegani dan sangat dialu-alukan oleh pentadbiran tertinggi AS ketika nama baik perdana menteri itu terus cuba diburuk-burukkan.

Jemputan ke Rumah Putih ini sekaligus menjadi satu respon yang menafikan terus kesemua tuduhan kontroversi yang tidak berasas yang disasarkan ke atas beliau oleh pembangkang.

Menyanggahi Dakwaan Kosong Pembangkang

Acapkali kita mendengar tohmahan pembangkang bahawa Najib sudah pasti tidak akan berani lagi menjejakkan kakinya di AS dan kononnya beliau akan ditangkap sekiranya berbuat demikian. Dakwaan ini pernah dibuat oleh bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir pada 2015.

Malah, ada juga cakap-cakap kononnya kerajaan AS sendiri tidak mahu bertemu dengan perdana menteri selagi siasatan yang dikendalikan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) ke atas isu berkaitan syarikat milik kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak selesai.

Bercakap mengenai pertemuan Trump dengan Najib bulan depan, terdapat juga pihak yang cuba memutarkan isu ini dengan mendakwa pertemuan tersebut diatur bagi mengalihkan perhatian umum terhadap siasatan DOJ. Najib didakwa akan menggunakan kesempatan ini untuk meminta Trump ‘memperlahankan’ siasatan ke atas 1MDB.

Mengandaikan seorang presiden negara kuasa besar boleh dimanipulasi oleh seorang perdana menteri sebuah negara kecil tentunya merupakan satu pemikiran yang amat cetek dan dangkal. Mustahil Trump begitu mentah untuk diperlakukan seperti itu.

Hakikatnya, Trump sendiri sebagai presiden tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam siasatan tersebut. Malah Trump sendiri juga disiasat berkenaan isu penyelewengan yang berlaku sepanjang tempoh berkempen pada pilihan raya presiden yang lalu.

Fakta ini juga memperlihatkan tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan pembangkang kepada Najib hanyalah dakwaan kosong yang tiada tujuan lain melainkan ingin memburuk dan menjatuhkan imej perdana menteri di mata rakyat.

Salah satu kritikan lain yang dilemparkan pembangkang mengenai pertemuan ini adalah ianya hanyalah satu wayang opera yang dipertontonkan kepada khalayak bagi membuktikan Najib tidak bersalah dan tidak juga takut untuk menjejakkan kakinya di AS.

Logiknya, jika benar Najib memang bermasalah dan menjadi orang yang dikehendaki di AS, masakan Trump sanggup mengadakan pertemuan rasmi dengan beliau? Sudah tentu Trump juga sudah cukup bijak untuk memelihara imej dan kredibilitinya sebagai presiden.

Pengiktirafan Untuk Malaysia

Jelas, pertemuan ini nyata memperlihatkan penghormatan pentadbiran Trump ke atas Najib dan karisma yang dimiliki perdana menteri. Pertemuan yang tidak perlu dilobi dengan sebarang bayaran ini sememangnya satu tamparan kepada pembangkang khususnya Tun Dr. Mahathir yang dilihat tidak henti-henti melobi dan berkempen di dalam dan luar negara bagi menjatuhkan Najib.

Mulut orang sememangnya tidak boleh ditutup. Persepsi dan tanggapan buruk terhadap Najib oleh sesetengah pihak pastinya akan terus kedengaran. Ketika kelompok-kelompok sebegini terus menekan Najib, kepimpinan perdana menteri itu terus mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Justeru, pertemuan sulung dengan Trump ini wajar dilihat sebagai satu permulaan yang baik buat Najib dalam hubungan Malaysia dengan pentadbiran baharu AS. Ianya bukan sahaja bakal mengangkat nama Malaysia di mata dunia, bahkan ia juga mampu memperlihatkan betapa pentingnya Najib sebagai pemimpin negara yang bijak dan keras bekerja bagi mendapatkan pulangan yang terbaik untuk rakyat.

Tentunya, pertemuan Trump-Najib ini bakal menjadi satu lagi faktor ‘mood baik’ yang diperlukan ketika negara sedang menghampiri tarikh pilihan raya umum (PRU) yang akan diumumkan pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here