Kumpulan heavy metal popular XPDC tidak sunyi dengan kontroversi dan kejutan buat peminat.

Band yang dianggotai Mael selaku vokalis dan Izo (gitar utama) serta dua anggota baru, Eddie (gitar bass) dan Lola (drum) ini menjayakan Konsert Rockestra XPDC di Stadium Merdeka Jun lalu.

Terbaru, XPDC yang mendapat jolokan ‘Raja Funfair’ ini akan beraksi di Hard Rock Cafe, Melaka pada 8 November ini jam 10 malam. Mengetengahkan tema Headbang Come Back! XPDC kali ini dibarisi Mael, Zuar, Amy dan Jeff yang menggantikan tempat Izo.

Sudah tentunya situasi ini mengelirukan peminat. Apa sebenarnya yang berlaku pada band itu?

Hadir ke Balai Berita untuk menjelaskan perkara terbabit, Zuar berkata, dia dan Amy kembali menganggotai XPDC atas desakan peminat.

“Ramai peminat kecewa apabila kami tak beraksi dalam Konsert Rockestra. Desakan mereka buat kami terbuka hati untuk kembali aktif bersama band ini.

“Izo kini dalam perancangan menubuhkan kumpulan baru dan kami hormat keputusannya. Tempatnya kami gantikan dengan Jeff yang pernah bersama Mael dalam Real X.

“Sebenarnya Izo nak gunakan nama XPDC, tetapi syarikat rakaman Life Records bagi kebenaran pada kami kerana kami bertiga anggota asal XPDC. Kami lebih berhak menggunakannya,” katanya.

Tidak berniat mencetuskan konflik, Zuar berkata, mereka sepakat bersatu kembali apabila menyedari niat Izo tidak kena pada tempatnya.

“Apabila dengar dia mahu menggantikan anggota asal XPDC dengan anggota baru, saya terus teringat pesan Allahyarham Zul Adnan Mohd Razali atau lebih dikenali sebagai JS Kevin. Arwah cipta nama XPDC yang diambil daripada setiap karakter kami.

“Lagu yang dia cipta pun berdasarkan watak kami. Katanya XPDC takkan wujud tanpa gandingan kami semua. Jadi, memang tak adil kalau dia seorang saja anggota asal, tapi masih nak gunakan nama XPDC.

“Kami tak kisah jika dia gunakan nama lain dan mendoakan kejayaannya. Seandainya Izo mahu menyertai XPDC semula selepas ini, kami sedia berbincang dengannya,” kata Zuar.

Selepas meninggalkan XPDC empat tahun lalu, Zuar aktif berdakwah dengan mengadakan persembahan aktiviti dakwah anjuran badan bukan kerajaan (NGO).

Amy pula menetap di Pontian, Johor dan mengadakan persembahan ‘busking’ bersama dua lagi rakan di sekitar negeri itu.

Zuar mewakili XPDC berkongsi rasa tidak sabar dan teruja bertemu peminat di HRC Melaka.

“Persembahan di HRC Melaka diuruskan Yazid, pengurus yang sudah lama bersama XPDC. Harga tiket yang dikenakan ialah RM60. Kami juga akan menjual pelbagai barangan keluaran XPDC kepada peminat.

“Dalam mini konsert ini, XPDC akan mempersembahkan 12 lagu popular. Selepas Melaka kami akan mengadakan persembahan di HRC Kuala Lumpur.

“Kami juga rancang beraksi di HRC Pulau Pinang dan Kota Kinabalu. Peminat di Johor pula boleh menyaksikan persembahan kami di Kelab Diva, Masai pada 11 Disember nanti.

“Berbanding dulu, ‘funfair’ sekarang sudah jarang menampilkan artis dan kami kena beraksi di kelab jika mahu bertemu peminat. Ini perlu kerana XPDC bercadang muncul dengan single baru awal tahun depan,” kata Zuar.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here