Unit amanah pelaburan hartanah Johor Corporation (JCorp), Al Salam REIT dijangka akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 29 September ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, berkata aset Al Salam REIT mempunyai profil berdaya tahan dan tidak akan terjejas dengan senario pasaran semasa berikutan disokong oleh aset serta pendapatan yang stabil.

Katanya, kekurangan IPO REIT di pasaran tempatan juga mendorong JCorp untuk menyenaraikan Al Salam REIT di Pasaran Utama Bursa Malaysia tahun ini, sekali gus membantu merangsang pasaran modal Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran prospektus tawaran awam awal (IPO) Al Salam REIT di Kuala Lumpur hari ini.   Yang hadir sama,  Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi JCorp, Datuk Mohamed Khaled Nordin.

Pelancaran prospektus Al Salam REIT iaitu amanah pelaburan hartanah kedua JCorp membabitkan terbitan umum 252.36 juta unit  pada harga RM1 seunit.  IPO berkenaan dijangka menjana perolehan kira-kira RM252.36 juta yang mana akan digunakan terutamanya untuk sebahagian pembayaran pertimbangan belian hartanah.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here