Pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 12 November lepas mematuhi semua syarat yang diarahkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

JPPM dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu berdasarkan rumusan yang diperoleh daripada siasatan mereka.

“JPPM bersetuju supaya laporan penuh pelaksanaan pemilihan semula tersebut disimpan oleh firma Grant Thornton mengikut tempoh masa wajar sepertimana keperluan perlembagaan Parti.

“Surat rasmi memaklumkan keputusan Pendaftar Pertubuhan Malaysia akan dikeluarkan pada Isnin (5 Februari),” menurut kenyataan itu.

DAP mengadakan pemilihan semula CEC di Ideal Convention Centre Shah Alam (IDCC) Selangor seperti diarahkan oleh JPPM melalui surat bertarikh 21 September tahun lepas.

Firma audit antarabangsa, Grant Thornton yang dilantik DAP, mengemukakan laporan penuh pelaksanaan pemilihan semula CEC DAP melalui surat bertarikh 27 November lepas.

Pemilihan semula CEC itu diadakan selepas JPPM menerima aduan mengenai pemilihan CEC DAP pada 2012 dan pemilihan semula CEC DAP pada 29 September 2013.

Menurut JPPM, jabatan itu menerima 17 aduan berhubung pemilihan semua CEC itu daripada Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang sejak 28 November lepas.

Ia berkata daripada 17 aduan yang diterima, hanya 8 pengadu sahaja yang mempunyai maklumat lengkap dan hadir memberi keterangan berkenaan aduan yang dibuat.

“Baki 9 lagi, maklumat pengadu adalah tidak lengkap. Selain itu, terdapat juga pengadu yang tidak memberikan kerjasama untuk memberi keterangan. Bagaimanapun, jabatan berpuas hati dengan siasatan yang dilaksanakan, dan kesemua aduan telah ditutup,” kata JPPM.

Sementara itu, JPPM mengingatkan setiap parti dan pertubuhan berdaftar supaya mentadbir dan menjalankan setiap urusan parti dan pertubuhan mengikut kehendak Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan perlembagaan berdaftarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here