manifesto

Semalam (Ahad, 24 September), Tun Dr Mahathir selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) muncul di Kuching, Sarawak dalam satu program ceramah utama anjuran PH Sarawak. Di samping itu, pada majlis sama PH turut mengambil kesempatan membentangkan manifesto khusus untuk negeri Sarawak. Buat masa ini rangka manifesto berkenaan masih belum lengkap dan hanya disenaraikan sebagai perkara tanpa ada perincian lanjut. Antara tumpuan dalam manifesto ini ialah hak sebagai kerajaan wilayah, pulangan hasil petroleum yang lebih baik, pembangunan tanah dan kemudahan asas, pendidikan berkualiti, pembangunan wanita, remaja dan golongan minoriti.

Walaupun rangka manifesto itu nampak baik dan mempunyai nilai positif, namun ia hanya kekal sebagai rangka jika tiada sebarang perincian lanjut dan perancangan pelaksanaan dikemukakan. Justeru, rakyat Sarawak sewajarnya tidak mudah termakan dengan janji manifesto kosong seperti ini. Jika benar PH di Sarawak serius untuk membangunkan negeri berkenaan, satu pelan perancangan yang jelas wajar disertakan bersama-sama manifesto berkenaan untuk rakyat menilai kekuatan yang dimiliki PH di negeri itu.

Selain isu manifesto, hal terpenting yang wajar kita lihat mengenai program ceramah yang dianjurkan di Sarawak itu ialah ucapan dan pandangan yang dikemukakan Tun M sendiri. Di dalam ceramah berkenaan Tun M menyalahkan bekas Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Razak sebagai pemimpin yang bertanggungjawab meluluskan Akta Petroleum 1974 yang menyaksikan Sabah dan Sarawak hanya diberikan royalti pada kadar 5 peratus sahaja. Tun M juga menganggap Akta Laut Wilayah yang dirangka pentadbiran YAB Perdana Menteri kini pada 2012 juga tidak mengambil kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.

Perkara paling dikesalkan ialah apa yang dilakukan oleh Tun M sepanjang 22 tahun memerintah Malaysia? Adakah wujud agihan royalti yang adil untuk Sabah dan Sarawak sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri? Sudah tentu jawapannya tidak. Jadi kita sangat hairan mengapa sewaktu berkuasa Tun M langsung tidak pernah terfikir soal kadar royalti petroleum yang dinikmati kedua-dua negeri ini. Namun ketika sudah tidak lagi berkuasa dan kini bersama-sama dengan pembangkang, tiba-tiba Tun M teringatkan hal kadar royalti ini. Jelas sekali usaha Tun M bercakap tentang hak rakyat Sabah dan Sarawak bukan bertujuan untuk membantu dengan jujur, tetapi sekadar menjadikannya alat untuk mencapai kemenangan politik.

Tiada apa-apa yang baru dalam janji PH terhadap Sabah dan Sarawak, ia cuma kitaran isu yang berpusing-pusing tanpa ada sebarang perancangan konkrit untuk merealisasikan setiap hasrat pada janji itu. Dengan menggunakan Tun M, pemimpin Sarawak kononnya yakin untuk menambat hati rakyat, namun apabila dikenangkan kembali tentang sepanjang berkuasa tiada pernah terbangkit hal penyelarasan semula kadar royalti, jadi rakyat Sarawak boleh melupakan hasrat untuk memilih PH pada pilihan raya umum akan datang.

Program yang dianjurkan semalam sebenarnya tidak boleh dijadikan kayu ukur tentang sokongan rakyat Sarawak terhadap PH. Aspek lokasi program juga memainkan peranan sangat penting. Program ini diadakan di kawasan yang menjadi kubu kuat Parti Tindakan Rakyat (DAP) di Sarawak. Jadi tidak hairan sebahagian besar yang hadir ialah penyokong DAP. Jika PH benar-benar memiliki keyakinan untuk menang di Sarawak, cuba adakan program di kawasan pedalaman dan luar bandar dan lihat sendiri bagaimana dinginnya sambutan yang bakal mereka terima.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here