Majlis Syura Ulamak mengingatkan ahli Pas yang tidak lagi dipilih sebagai calon pada PRU14 tidak ‘membunuh’ parti suci itu secara sembunyi dari belakang.

Ahlinya, Datuk Dr Johari Mat berkata, jika sekalipun senarai nama calon PRU14 yang tular sejak beberapa hari lalu benar, adalah sangat tidak manis apabila ahli keluarga Pas sendiri membalas dendam terhadap partinya.

Menurutnya, pemilihan calon dibincangkan secara berjemaah, dengan adanya Majlis Syura Ulamak, maka individu yang terpilih itu sebenarnya adalah terbaik dan bukannya Pas mahu menganiaya mana-mana pihak.

“Bagi saya kita hendaklah menerima seadanya jika nama kita digugurkan dan tidak lagi diangkat untuk bertanding pada PRU14. Ini sudah ketentuan ALLAH SWT.

“Yang dipilih itu adalah sahabat kita, orang kita, bukan orang luar bertanding untuk Pas,” katanya.

Sementara itu katanya, beliau menyifatkan tular itu sebagai provokasi pihak tertentu menghangatkan suasana menjelangnya PRU14, selain usaha mengucar-ngacirkan ketenangan Pas di sini.

Mengulas lanjut kemungkinan Pas guna calon import di Kelantan dan antara tersenarai ialah Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, beliau berkata, itu mungkin untuk kukuhkan Pas di Kelantan.

Namun katanya, beliau menolak andaian Pas Kelantan ketandusan calon apabila dilihat berminat meletakkan individu luar bertanding di negeri ini.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here