Umum telah pun ketahui kejadian banjir buruk yang kini sedang melanda Pulau Pinang. Semua pihak khususnya pihak media tidak seharusnya mempolitikkan isu banjir yang sedang berlaku kini serta mempolitikkan apa – apa juga bencana alam yang berlaku dalam negara kita kerana ianya tidak akan menyelesaikan apa – apa masalah yang berbangkit.

Apa yang paling penting untuk dilakukan sekarang ialah untuk segera menghulurkan sebarang jenis bantuan yang difikirkan perlu bagi meringankan beban mangsa banjir di kawasan – kawasan yang terlibat.

Pihak kerajaan pusat dan negeri hendaklah berkerjasama mencari jalan bagi mengambil segala langkah yang perlu bagi mengatasi masalah banjir yang sedang berlaku serta menjalankan segala usaha bagi meringankan beban mangsa banjir.

Dengan keadaan cuaca seluruh dunia yang tidak menentu ini, tidak dapat dinafikan isu banjir ini akan sentiasa berlaku dalam negara kita serta negara – negara di rantau Asia Tenggara. Oleh yang demikian, sudah sampai masanya pihak kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa bertindak bencana alam yang lebih mampan dan berkesan khususnya dalam mengatasi masalah banjir yang dilihat lebih kerap berlaku semenjak kebelakangan ini dalam negara kita.

Bot – bot penyelamat hendaklah disediakan dengan lebih banyak serta awal lagi dan ditempatkan dikawasan yang mudah terlibat dengan banjir bagi memudahkan sebarang operasi menyelamat untuk dilakukan.

Sistem amaran awal juga perlu dikeluarkan dengan awal dan segera oleh pihak Pusat Ramalan Kajicuaca Negara mengenai hujan lebat, ribut petir, atau sebarang tanda lain yyang boleh menyebabkan kejadian banjir bagi memudahkan para penduduk yang terlibat, kerajaan tempatan dan negeri melakukan persiapan awal bagi menghadapi banjir. Semua pihak harus mengetepikan perbezaan politik masing – masing serta memberi fokus untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here