blue whale

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris berkata, salah satu permainan dalam talian yang didapati membahayakan nyawa pemainnya adalah Blue Whale kerana dikaitkan dengan beberapa kematian remaja di luar negara.

Menurutnya, walaupun permainan itu tidak dibenarkan di Malaysia, namun pihaknya meminta agar masyarakat terutamanya golongan remaja berhati-hati dan tidak sesekali mencubanya melalui talian secara tersembunyi.

“Difahamkan, permainan dalam talian ini tidak boleh dimuat turun melalui aplikasi sebaliknya kurator akan memberi mesej secara peribadi kepada pemilik media sosial untuk bermain Blue Whale ini. Mesej itu lebih kepada mencabar bagi mengumpan pemain agar bersetuju untuk bermain permainan tersebut.

“Namun, pelawaan itu bersyarat iaitu si pemain tidak boleh berhenti sebaik sahaja mereka bersetuju untuk bermain. Kurator akan memberi satu siri tugasan berbahaya untuk diselesaikan dalam tempoh 50 hari termasuk melukakan diri sendiri, mendengar lagu yang boleh menyebabkan kemurungan, berdiri di bucu bangunan tinggi dan ke tanah perkuburan secara bersendirian,” katanya kepada media tadi.

Mohamed berkata, beberapa kes kematian remaja di luar negara dilaporkan mempunyai kaitan dengan permainan Blue Whale itu.

Difahamkan, Blue Whale dicipta seorang remaja Rusia, Phillip Budeikin berusia 21 tahun pada 2013 bertujuan untuk membina hubungan secara talian dengan pelayar Internet.

Dia dikatakan menyasarkan golongan remaja yang senang dipengaruhi untuk bermain permainan merbahaya itu.

Budeikin akhirnya ditahan Mei lalu dan mendakwa, manipulasi psikologi yang dilakukannya itu bertujuan menjadikan mangsa gembira selain menyemai kemesraan yang tidak diperolehi dalam hidup remaja terbabit.

Dia turut mengakui telah menghasut 16 pelajar perempuan agar mencabut nyawa mereka sendiri.- SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here