Dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad kemungkinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengisytiharkan darurat PRU14, hanyalah cubaan mengelirukan rakyat.

Exco Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan itu sekali lagi bertujuan mahu menabur politik persepsi untuk membuatkan rakyat keliru.

“Cara Mahathir mengalih isu kelemahan Harapan adalah dengan mengeluarkan kenyataan Najib, berkemungkinan mengisytiharkan darurat bagi menghalang PRU14, jelas adalah untuk mengelirukan rakyat.

“Mahathir cuba mengalih isu melibatkan Harapan, yang secara terbuka diketahui rakyat ada masalah dalam pembahagian kerusi PRU14 antara gabungan itu,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mahathir pada program Bicara Pimpinan Anak Muda Bersama Tun M semalam, yang tidak menolak kemungkinan Najib akan mengistiharkan darurat bagi menghalang PRU14.

Mahathir berkata, pengistiharan darurat itu berkemungkinan boleh dilakukan selepas PRU14 sekiranya undi rakyat tidak memihak kepada kerajaan BN.

Armand Azha berkata, politik pecah dan perintah itu  sebahagian strategi Mahathir bagi menghadapi PRU14 walaupun ia akan menganggu gugat perpaduan negara.

“Akan ada pelbagai lagi pertuduhan dan fitnah Mahathir terhadap kerajaan dalam masa terdekat bagi mencipta politik persepsi kebencian yang tidak sihat dalam negara, khususnya bagi memastikan pengundi atas pagar tidak keluar mengundi.

“Kerana itu, Harapan mulakan gerakan #undirosak kerana tahu momentum BN menunjukkan sokongan rakyat kepada kerajaan semakin positif,” katanya.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin menyifatkan, dakwaan Mahathir itu sebagai kenyataan terdesak bagi mengganggu pemikiran rakyat, walaupun hakikat sebenarnya keadaan itu berbeza sama sekali.

“Kenyataan itu menunjukkan Mahathir sebagai negarawan yang cuba menipu rakyat Malaysia.

“Mahathir cuba menganggu pemikiran rakyat, menunjukkan seolah-olah Najib terdesak.

“Sebagai bekas perdana menteri, beliau sepatutnya tahu apa hala tuju perjuangannya, bukan hanya tahu menipu, menghasut dan mengamalkan politik kebencian pembangkang,” katanya.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here