MENTERI Besar Selangor Azmin Ali berkata PAS bertindak kebudak-budakan kerana ingin menghadap Sultan Selangor untuk mengadu mengenai dakwaan sekatan peruntukan pembangunan kerajaan negeri kepada wakil rakyat mereka.

Azmin berkata, wakil rakyat terbabit boleh membincangkan isu peruntukan tersebut dengannya kerana ia merupakan masalah pentadbiran yang boleh diselesaikan secara dalaman.

“Sekiranya ada masalah perlaksanaan di peringkat daerah, Adun boleh berjumpa dengan pegawai daerah, kerana pegawai daerah merupakan pengawal kewangan ataupun boleh bertemu dengan saya. Pintu saya sentiasa terbuka, kita boleh bincang.

“Tapi tak payahlah bawa perkara ini ke Istana. Ia satu tindakan kebudak-budakan. Soal pentadbiran negeri, jangan heret Istana untuk menyelesaikannya,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media hari ini.

Beliau sebelum itu ditanya mengenai kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi yang tidak berpuas hati dengan dakwaan bahawa peruntukan untuk semua Adun parti tersebut dibekukan.

Mengulas lanjut, Azmin berkata peruntukan pembangunan tahunan yang disalurkan kepada setiap Adun pada 1 Januari itu mengambil sedikit masa pada kali ini.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada masalah penyaluran peruntukan tersebut hanya melibatkan PAS atau semua wakil rakyat di negeri itu.

“Namun biasanya pada awal tahun ini mungkin penyaluran daripada perbendaharaan negeri ke pejabat daerah mungkin mengambil sedikit masa tetapi saya sentiasa memberitahu pelaksanaan itu perlu disegerakan kerana program di peringkat daerah itu tidak boleh terganggu,” katanya lagi.

Sallehen dalam satu laporan portal Berita Harian hari ini mendakwa dimaklumkan oleh Unit Perancang Ekonomi negeri bahawa peruntukan untuk wakil rakyat PAS itu disekat.

Menurutnya, PAS Selangor hanya diberitahu secara lisan dan belum menerima sebarang surat rasmi mengenai sekatan itu.

“Jika benar perkara ini ia adalah tindakan yang tidak wajar,” katanya seperti dilaporkan portal itu.

ADUN Sabak itu juga tidak menolak kemungkinan membawa perkara tersebut ke peringkat Istana sekiranya tidak mendapat jawapan dari kerajaan negeri.

Kerajaan Selangor memperuntukkan RM800,000 kepada setiap Adun dan RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen di negeri itu setiap tahun. PAS kini mempunyai 13 Adun dan seorang ahli Parlimen (Hulu Langat).

Azmin dilaporkan telah membuat keputusan untuk menyekat peruntukan kepada wakil rakyat PAS itu sejak beberapa hari lalu.

Sin Chew Daily melaporkan, tindakan itu sama seperti memutuskan hubungan dengan parti Islam berkenaan, walaupun Azmin memutuskan untuk mengekalkan tiga exco PAS agar tidak menjejaskan pentadbiran negeri.

Azmin bercakap kepada pemberita hari ini selepas melancarkan Program KISS di Padang Awam Kampung Permatang, Kuala Selangor.

Program berupa bantuan bulanan berupa makanan asas bernilai RM200 itu memberi manfaat kepada 30,000 keluarga berpendapatan isi rumah RM2,000.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here